CHELSEA perlu menjadikan kejayaan Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai contoh menyediakan pelan tindakan membina semula kekuatan The Blues selepas kempen yang mengecewakan musim ini.
Pengendali sementara The Blues, Frank Lampard berkata,"Terdapat proses yang panjang dari segi masa untuk sampai ke tempat yang anda mahu pergi untuk kemajuan pada masa depan.
"Saya masih ingat akan menentang Mikel Arteta pada peringkat awal itu. Kadang-kadang mereka bermain lima di bahagian belakang, kadang-kadang empat; kini mereka mempunyai identiti yang jelas.
"Terdapat banyak kerja melalui pasukan yang berjaya dibentuk Mikel selepas mengendali Arsenal. Adakah kami mempunyai kemungkinan untuk melakukannya? Ya. Adakah ia ambil masa dan keputusan yang baik? Sudah tentu, ya. Tetapi mengambil masa untuk sampai ke tahap seperti Arsenal.
"Proses itu boleh mengambil masa dua atau tiga tahun. Arsenal adalah contoh yang bagus untuk melakukannya dengan baik," kata Lampard kepada pemberita menjelang lawatan ke Stadium Emirates berdepan The Gunners.
Kekalahan Chelsea 0-2 kepada Brentford minggu lalu menyaksikan The Blues berada di kedudukan ke-12, tersadung ke arah kempen terburuk sejak musim 1993/94, apabila mereka menduduki tempat ke-14 di bawah Glenn Hoddle, walaupun pemilik baru AS itu mengeluarkan perbelanjaan besar.
Sementara itu, Lampard mengakui pemain Chelsea kurang keyakinan menjadi punca prestasi buruk, namun mencabar The Blues untuk mengatasi kekurangan keyakinan diri dengan kerja lebih keras.
"Saya pernah berada di sini pada saat-saat di mana keyakinan rendah kerana tiada siapa yang suka kalah dalam perlawanan.
"Saya mempunyai detik-detik sebagai pemain di mana kami menjatuhkan standard kami sebagai kolektif dan kami terpaksa menaikkannya.
"Melihat melalui sejarah, kami berjaya mendapatkannya kembali melalui kerja keras. Kami hanya boleh mempertimbangkan masa depan dan mendapatkan skuad yang kami inginkan,” kata Lampard.