GEORGETOWN - [KEMAS KINI] Empat wanita warga China dan seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan bomoh di sekitar negeri ini pada Khamis lalu.
Tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ahli sindiket terbabit cuba melarikan diri ke China.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, sindiket yang aktif melakukan aktiviti penipuan itu sejak Januari tahun ini mensasarkan mangsa di kalangan warga emas yang pergi ke pasar awam untuk membeli barangan keperluan harian.
Menurutnya, bomoh palsu itu memperdayakan mangsa dalam urusan penjualan ubat dan ritual yang kononnya boleh mengubati penyakit secara bersemuka selain menggunakan helah untuk melarikan barangan berharga milik mangsa.
"Ahli sindiket akan menghampiri mangsa dan menawarkan ubat untuk merawat penyakit kronik sebelum memberikan nombor telefon untuk urusan rawatan tersebut.
"Sebelum rawatan dibuat, mangsa diyakinkan oleh ahli sindiket untuk mengeluarkan semua barang berharga dari dalam rumah termasuk wang dan barang kemas untuk upacara sembahyang menghalau hantu.
Fisol berkata, apabila sampai tempoh yang ditetapkan mangsa terlibat membuka bungkusan barangan mereka namun mendapati bungkusan itu hanya mengandungi botol mineral dan batu bata.
Mengulas lanjut, Fisol berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati sindiket terbabit terlibat dengan lima kes dilaporkan di sini pada tahun ini yang mana melibatkan kerugian sebanyak RM124,400.
Malah katanya, siasatan juga mendapati sindiket terbabit juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menjalankan aktiviti penipuan di Johor pada Februari lalu.
"Bertindak atas maklumat dan risikan, kita berjaya memberkas kumpulan sindiket ini di KLIA ketika cuba melarikan diri dan dalam serbuan tersebut kita merampas pelbagai barang berharga seperti telefon bimbit, barang kemas, kepingan emas dan 11 utas jam tangan pelbagai jenama.
"Turut dirampas wang tunai mata wang China Yuan Renminbi bernilai RM60,853.45 dipercayai telah ditukar hasil daripada wang yang diperdaya daripada mangsa," katanya lagi.
Sementara itu, Fisol berkata, semakan rekod dibuat mendapati kesemua suspek warga asing terlibat pernah beberapa kali masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong.
Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sabit kesalahan kesemua suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun dan d