GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (WLNR) melaksanakan Fasa 1 Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWS) menjelang 2025.
SPRWTS adalah projek dimulakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mendapatkan sumber bekalan air mentah kedua negeri berkenaan bagi memenuhi keperluan masa depannya dan utara Perak sehingga 2050.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow hari ini menegaskan Sungai Muda, sumber air mentah utama Pulau Pinang, hanya berupaya memenuhi keperluan air mentah Kedah dan Pulau Pinang sehingga 2025.
Kon Yeow berkata kerajaan negeri dan PBAPP telah meminta Kerajaan Persekutuan sebelum ini melaksanakan SPRWTS sejak 2011, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh antara 2012 dan 2018.
"Sekarang memandangkan PH memimpin Kerajaan Persekutuan, kami mengharapkan kelulusan dan pelaksanaan segera SPRWTS menjelang 2025,” katanya dalam ucapan sempena Hari Air Sedunia dan sambutan ulang tahun ke-20 PBAPP.
Bagaimanapun, Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau bertegas dengan keputusan kerajaan negeri mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PBAPP Datuk Jaseni Maidinsa berkata WLNR bersetuju untuk menjalankan kajian teknikal bagi menentukan pilihan terbaik untuk faedah bersama.
"Sebelum ini, WLNR hanya mempunyai dua kajian teknikal: cadangan air mentah Pulau Pinang dan cadangan air terawat Perak. Kemudian mereka mengemukakan cadangan ketiga ‘hibrid’, memasukkan pemindahan air mentah dan air terawat ke infrastruktur bekalan air Pulau Pinang dan Perak,” katanya kepada pemberita.
Beliau berharap kajian ketiga-tiga cadangan itu oleh WLNR dapat dijalankan dalam beberapa bulan.
Selain SPRTWS, beliau menambah projek utama pada masa depan termasuk meningkatkan sembilan loji rawatan air yang ada di Pulau Pinang, serta Pakej 3 projek saluran paip berkembar dasar laut Butterworth-Pulau Pinang, iaitu pemasangan 1,200mm diameter saluran paip berkembar dasar laut untuk membekalkan 315 juta liter sehari (MLD) air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai ke Pulau Pinang. - Bernama