Cuaca panas: Paras empangan di Negeri Sembilan baik

Iklan
Paras air di semua empangan di Negeri Sembilan dalam keadaan baik.

SEREMBAN - Paras air di semua empangan di negeri ini dalam keadaan baik iaitu melebihi 90 peratus meskipun daerah Jempol di sini menjadi antara dua kawasan yang merekodkan cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) selain Padang Terap di Kedah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun cuaca panas mencecah 35 darjah Celsius, negeri ini menerima hujan lebat pada sebelah petang hampir setiap hari.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk di Jempol tetap dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar ketika panas terik.

"Keadaan air di semua empangan baik, sama-sama kita mendoakan negeri ini tidak terjejas akibat cuaca panas ini.

Iklan

"Hujan hampir setiap hari di sebelah petang, Insya-Allah bekalan air mencukupi buat masa ini. Saya juga tidak menerima laporan mengenai petani atau penternak yang terkesan akibat cuaca panas ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sekolah juga akan ditutup jika suhu panas melebihi 37 darjah Celsius berlaku tiga hari berturut-turut seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Iklan

Sementara itu, seorang penternak, Karib Mohd Salleh, 66, berkata, kira-kira 500 ternakan lembu dan kerbau miliknya di Felda Serting Ulu dalam keadaan baik walaupun cuaca panas terutamanya pada tengah hari.

Katanya, walaupun cuaca panas, kawasannya itu menerima hujan pada sebelah petang hampir setiap hari.

"Setiap pagi saya akan memberi makan ternakan saya...kawasan ternakan juga berdekatan dengan sungai jadi tiada masalah untuk lembu dan kerbau mendapatkan minuman,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap di Kedah dan Jempol di Negeri Sembilan.

Menurut data kemas kini cuaca panas yang dimuat naik di Facebook jabatan itu, dua kawasan berkenaan mencatatkan gelombang haba tahap kuning iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. - Bernama