KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan buli seorang anggota di pusat latihan di Kuantan, Pahang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan dalaman dijalankan selepas bapa pelatih berkenaan membuat laporan polis terhadap kejadian yang menimpa anaknya di pusat latihan tersebut.
Beliau berkata, polis juga telah hadir ke pusat latihan berkenaan baru-baru ini untuk menjalankan siasatan dan pihak TUDM turut memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Selain siasatan polis, TUDM juga melakukan siasatan dalaman terhadap laporan berkenaan, TUDM tidak menerima laporan mengenai kejadian buli ini, bapa mangsa hanya membuat laporan polis.
"Polis akan memastikan kes buli berkenaan disiasat secara menyeluruh dan individu yang didapati bersalah melanggar tatatertib dan prosedur operasi standard bagi setiap anggota yang duduk di pusat latihan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Rumah Terbuka Kementerian Pertahanan dan Kem Kementah, di sini pada Selasa.
Terdahulu tular satu perkongsian di media sosial dengan seorang wanita mendakwa adiknya menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara.
Dalam perkongsian berkenaan, wanita itu mendakwa adiknya menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi sehingga menyebabkan beliau trauma dan ketakutan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya mengambil maklum perkara berkenaan dan TUDM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menyiasat aduan berkenaan.
"Kementerian Pertahanan menegaskan tidak ada kompromi terhadap sebarang salah laku yang melibatkan pelanggaran disiplin, tatatertib, jenayah dan isu berkaitan perundangan seperti buli dan lain-lain melibatkan Angkatan Tentera Malaysia.
"Tindakan tegas mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada akan diambil kepada mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terlibat serta bersalah," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu siasatan kes. - Bernama