Ahmad Dusuki gagal rayuan saman fitnah terhadap Mujahid

Iklan
Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani gagal dalam rayuan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Saman fitnah itu berikutan ciapan Mujahid selaku defendan di Twitter pada 22 November 2020 membabitkan isu penjualan aset Tabung Haji (TH).

Iklan
Iklan

Menerusi satu kenyataan, peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Dr Mujahid berkata, mahkamah memerintahkan Ahmad Dusuki selaku plaintif, membayar kos RM7,000 kepada anak guamnya.

Menurutnya, mahkamah juga berpendapat bahawa keterangan itu merupakan satu tindak balas terhadap kenyataan plaintif yang juga penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi itu, yang disiarkan di aplikasi YouTube pada 20 Februari 2020.

Iklan

"Keterangan itu juga menunjukkan, terdapat penjelasan yang dibuat di Parlimen oleh mantan Perdana Menteri (terhadap soalan dikemukakan defendan) bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan dan TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam.

"Pemindahan tersebut adalah sebahagian dari pelaksanaan di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang diluluskan oleh Kabinet sewaktu defendan menjadi Menteri Agama di JPM," katanya.

Iklan

Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat, terdapat keterangan bahawa plaintif sendiri bersetuju bahawa hotel TH tidak dijual kepada bukan Islam.

Saman tersebut difailkan berhubung dengan ciapan Mujahid terhadap Dusuki pada 22 November 2020 iaitu 'seorang Ustaz berdusta, berpuloh ribu jadi mangsa... berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri... hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya... Allahu Mustaan'.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) membuat kenyataan itu, selepas tersebarnya video ceramah Ahmad Dusuki yang mendakwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam.

Susulan itu, Ahmad Dusuki yang juga calon Pas bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) N40 Kota Anggerik, menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyata jumlahnya.

Bagaimanapun, pada 14 September 2020, Mahkamah Sesyen mendapati, ciapan Twitter itu tidak berbentuk fitnah kerana semasa perbicaraan, terbukti bahawa aset TH tidak dijual kepada orang bukan islam.