KKM berharap Kertas Putih Kesihatan dapat sokongan penuh

Iklan
Dr Muhammad Radzi berucap pada Sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan peringkat Zon Utara di Dewan Sri Pinang, pada Selasa. - Foto Bernama

GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap Kertas Putih Kesihatan yang bakal menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan Malaysia ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing, akan mendapat sokongan seluruh masyarakat dan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Kertas Putih Kesihatan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023 untuk mendapatkan sokongan dwipartisan ahli Parlimen sebelum langkah-langkah pelaksanaanya dapat dijalankan.

Iklan
Iklan

"Dari segi konsep, ia telah pun lengkap serta merangkumi segala aspek kesihatan tapi kita perlu mula untuk mengoptimumkan strategi dan perancangan dari sekarang.

"Kita berharap ia mendapat sokongan penuh kerana usaha ini bukan membabitkan KKM sahaja. Ia memerlukan usaha masyarakat dan kerajaan secara menyeluruh untuk menjadikan sistem kesihatan Malaysia lebih cekap," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Utara di sini pada Selasa.

Iklan

Tambahnya, antara isu yang dibangkitkan tertumpu kepada penambahbaikan perkhidmatan sistem kesihatan negara yang sering menghadapi kesesakan, antaranya, di kecemasan dan pusat-pusat kesihatan.

Selain itu, Dr Muhammad Radzi berkata, KKM juga berusaha untuk mengubah pendekatan masyarakat iaitu daripada mendapatkan rawatan perubatan kepada kesejahteraan menyeluruh dengan mengetengahkan langkah-langkah pencegahan.

Iklan

Seterusnya beliau berkata, Kertas Putih Kesihatan juga akan menumpu kepada kekangan pembiayaan kesihatan apabila peningkatan drastik terhadap permintaan perkhidmatan kesihatan serta kenaikan kos perubatan telah menggugat kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan. - Bernama