'Arwah ayah pesan belajar al-Quran jangan harap balasan'

Iklan
Allahyarham Datuk Abdul Hak (kanan) semasa mendengar bacaan al-Quran cucunya, Ahmad Azhar yang merupakan anak kepada Ustaz Azraie pada Ramadan lalu.

ALOR SETAR - Juara tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 1967, 1972, 1980 dan 1982, Allahyarham Datuk Abdul Hak atau Abdul Ghani Abdullah, 81 mahu anak dan cucunya menjadikan al-Quran sebagai rujukan sepanjang hidup mereka.

Anaknya, Ustaz Azraie Abdul Hak berkata, arwah juga berpesan agar ikhlas dalam mempelajari al-Quran selain menjadikan kitab suci umat Islam sebagai 'hiburan' yang perlu dibaca pada setiap hari.

Iklan
Iklan

"Antara pesanan ayah yang saya ingat dan khususnya kepada saya kerana mengikut jejak langkah menjadi seorang qari bersama cucunya adalah kita tidak boleh mengharapkan apa-apa balasan dan kita mengharapkan hanya keredaan Allah SWT apabila belajar al-Quran ini.

Kenangan Ustaz Azraie bersama Allahyarham Datuk Hak pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini.

"Kita baca tanpa dipaksa dan baca dengan penuh kerelaan, kemudian hendaklah hadirkan ketenangan dalam diri kita, saya dapati ayah dapat baca al-Quran dengan baik selama dia uzur. Dia banyak baca surah yang dia ingat sebab lidah tidak mampu sebut huruf dengan baik seperti dulu (sebab uzur).

Iklan

"Arwah ayah kata, baca kena tenang, pastikan pelihara ilmu tajwid, jangan pentingkan ilmu berlagu sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ustaz Azraie yang juga juara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait berkata, arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar semasa ditemani abangnya, Amiluddin, 47, yang sedang membaca al-Quran.

Iklan

Menurutnya, arwah bapa sentiasa berdamping dengan al-Quran sejak mereka kecil lagi dan perkara tersebut menjadi kegemarannya sehingga beliau meninggal dunia.

"Jika ada bacaan al-Quran di TV, dia akan minta bawanya keluar untuk berada berdekatan dengan TV untuk dengar. Hiburannya adalah al-Quran. Pesannya, jadikan al-Quran sebagai al-Quran dalam kehidupan kita," ujarnya.

Tambahnya, arwah tinggal bersama keluarganya selama lebih sebulan di Melaka berjaya berpuasa penuh selain bertarawih bersama keluarganya pada setiap malam sepanjang Ramadan tahun ini.

Gambar kenangan keluarga Ustaz Azraie bersama Allahyarham Datuk Abdul Hak pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini.

Menurutnya, Abdul Hak kemudiannya mula tidak sihat pada hari raya kedua Aidilfitri sebelum dimasukkan ke Hospital di Jasin sebelum bapa mereka memohon untuk pulang ke Pendang pada hari raya kelima.

Selepas sampai ke Pendang, Allahyarham kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selama tiga hari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam pada Ahad.

Doktor mengesahkan beliau meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair, mengalami kesukaran bernafas selain mempunyai penyakit kencing manis dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan, Pendang pada pagi Isnin.

Selain Ustaz Azraie yang mengikuti jejak langkah arwah Abdul Hak sebagai qari adalah cucunya iaitu Ahmad Azhar yang muncul juara Musabaqah Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa 2022 di Algeria.