Cuaca panas beri rezeki berbeza

Iklan
Jariah mengangkat asam keping yang telah siap dijemur di Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang pada Selasa.

PADANG TERAP - Fenomena cuaca panas dan bahang yang melanda daerah Padang Terap sejak beberapa hari lalu memberikan rezeki kepada seorang pengusaha asam keping, Jariah Yahya, 70, di Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang, dekat sini.

Menurutnya, proses menjemur asam keping menjadi lebih cepat berbanding sebelum ini yang perlu mengambil masa empat ke lima hari.

Iklan
Iklan

"Asam keping ini lambat kering kalau cuaca tidak panas betul-betul. Sejak beberapa hari lalu, cuaca memang sangat panas dan dalam masa dua hari asam keping yang dijemur dapat kering dengan cepat.

"Cuaca kemarau macam sekarang ini memang asam keping akan cepat kering dalam tempoh dua hari sahaja dah boleh simpan dalam plastik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendang Raja, Kuala Nerang pada Selasa.

Iklan
Mohd Azlan menunjukkan pokok pisangnya yang patah dan rosak disebabkan oleh kekurangan air disebabkan oleh musim kemarau di Kampung Pisang, Kuala Nerang pada Selasa.

Jariah yang telah mengusahakan asam keping lebih 10 tahun berkata, asam keping yang telah siap dikeringkan akan dijual pada harga RM20 bagi setiap kilogram.

Dia berkata, setiap pagi suaminya, Abdul Rahman Yusof, 73, akan membantu mengutip buah asam gelugur sebelum dihiris untuk dijemur di perkarangan rumah mereka setiap pagi.

Iklan

Berbeza pula buat pengusaha tanaman pisang di Kampung Pisang dekat sini apabila mengalami kerugian selepas banyak pokok pisangnya rosak dan tumbang disebabkan cuaca panas.

Mohd Azlan Abdul Manaf, 39, berkata lebih 1,000 pokok pisang jenis berangan dan raja yang ditanam patah selepas kekurangan air.

Menurutnya, kolam tadahan air di ladangnya juga hampir kering dan tidak mampu menyiram pokok pisang yang ditanam.

"Saya tanam pisang sebanyak 5,000 pokok di ladang ini dan yang telah rosak ada dalam 1,000 pokok. Musim kemarau ini menyebabkan air kurang dan batang pisang mudah patah

"Tandan buah pisang tak sempat hendak besar dan buah tidak sempat matang menyebabkan saya rugi dalam jumlah yang agak besar juga," katanya yang reda dengan ujian tersebut dan kini sedang mengusahakan tanaman tembikai madu sejak penghujung April lalu.

Pada Isnin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan status cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi kawasan Padang Terap di Kedah dan Jempol di Negeri Sembilan.

Menurut data jabatan itu, gelombang haba tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian melebihi 35 hingga 37 darjah celsius untuk sekurang-kurangnya tempoh tiga hari berturut-turut.