PM terima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan) pada Selasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan Park Jin (dua dari kiri) di Perdana Putra, Putrajaya. Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) dan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae (kiri). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menerima kunjungan hormat Menteri Luar Korea Selatan Park Jin yang antara lain membincangkan isu kepentingan bersama dan kerjasama memperkukuh hubungan Malaysia-Korea Selatan.

Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung di Perdana Putra di sini sempena lawatan kerja Park selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin yang turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Iklan
Iklan

Ini merupakan lawatan sulung Park ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Korea Selatan pada Mei 2022.

Sementara itu, Anwar dalam hantaran di laman Facebook rasminya selepas pertemuan itu berkata beliau dan Park telah berbincang mengenai isu-isu berkepentingan bersama termasuk kerjasama dalam sektor ekonomi, pertahanan, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan tenaga boleh baharu.

Iklan

"Kami bersependapat untuk meningkatkan semula pertukaran lawatan di peringkat tertinggi antara kedua-dua negara," kata Anwar.

"Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan geopolitik. Republik Korea merupakan salah satu rakan rapat dan penting bagi Malaysia," katanya.

Iklan

Anwar berkata Park pernah bertemu dengannya semasa beliau mengadakan lawatan rasmi ke Seoul pada sekitar 1996 sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan ketika itu, Park bertugas sebagai Setiausaha Politik dan penterjemah kepada mantan Presiden Korea Selatan Kim Young Sam.

"Moga lawatan ini mengeratkan hubungan selain memberi manfaat kepada kedua-dua negara," kata Anwar.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata lawatan Park adalah bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) oleh Malaysia dan Korea Selatan.

"Lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat," menurut kenyataan Wisma Putra.

Pada 2022, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM114.21 bilion (AS$25.94 bilion), meningkat 29.3 peratus daripada nilai yang dicatatkan pada 2021.

Korea Selaran juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan bernilai RM33.0 bilion (AS$9.25 bilion). - Bernama