SUNGAI PETANI - Jalan licin akibat hujan lebat disyaki punca berlakunya kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori muatan batu, treler dan sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Sungai Petani -Kuala Ketil berhampiran Bandar Puteri Jaya pada Selasa.
Kemalangan kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan ketiga-tiga pemandu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan batu yang datang dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani dikatakan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku semasa hujan lebat dan jalan berada dalam keadaan licin.
"Impak perlanggaran yang kuat menyebabkan berlaku kerosakan membabitkan ketiga-tiga kenderaan terutama remuk bahagian hadapan, cermin hadapan pecah dan tayar lori juga tercabut," katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, kemalangan turut menyebabkan pemandu kereta tersepit namun berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke HSAH.
Jelas Zaidy, kesemua kenderaan yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk pemeriksaan lanjut.
"Kita juga sedang mengesan saksi bebas yang dapat membantu siasatan. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.