IBARAT rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi.
Kira-kira tiga hari sebelum pembukaan rasmi temasya Sukan SEA 2023 Jumaat ini, tuan rumah dilihat masih bertungkus-lumus dalam menyiapkan kemudahan termasuk venue dan perkampungan sukan utama atlet yang terletak di Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo, kira-kira setengah jam perjalanan dari sini.
Walaupun enam blok pangsapuri berwarna putih yang menjadi perkampungan sukan atlet tersergam indah hampir 200 meter dari Stadium Nasional Morodok Techo, dari sini, namun hakikatnya masih wujud sebilangan unit pangsapuri yang belum siap sepenuhnya dengan keadaan berhabuk serta pelekat pula masih belum ditanggalkan di beberapa tingkap unit tersebut.
Tinjauan Bernama juga mendapati, para kontraktor juga sedang sibuk melakukan kemasan terakhir dengan menampal beberapa poster gergasi melibatkan maskot utama Sukan SEA 2023 yang merupakan dua ekor arnab dikenali Borey dan Rumdoul di pusat akuatik yang boleh memuatkan 3,000 penonton pada satu-satu masa.
Malah, terdapat pekerja sedang giat mengecat di pintu masuk utama Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo yang dibina bagi menganjurkan temasya sukan dwitahunan itu dan kos pembinaan menelan belanja kira-kira AS$161 juta.
Bukan itu sahaja, venue acara kriket, AZ Ground Cricket Oval juga masih belum sempurna setakat pagi tadi biarpun sukan tersebut telah membuka tirai pada Sabtu lepas.
Selain keadaan padang yang bertompok, masih terdapat pekerja giat memasang penghadang bagi menutup keseluruhan venue tersebut memandangkan lokasinya yang agak terbuka dan berada di tepi jalan raya di Hun Sen Boulevard.
Situasi tersebut sudah semestinya mengundang bahaya bagi para atlet serta penonton yang terpaksa ‘berjemur’ memandangkan tiada bumbung disediakan di tempat duduk penonton di venue tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2023, Sharon Wee berkata biarpun tidak semua unit pangsapuri di perkampungan sukan tersebut siap, namun unit yang sudah tersedia berada dalam keadaan baik untuk dihuni para atlet.
Katanya, beliau memahami bahawa tuan rumah juga sedang cuba melakukan terbaik bagi menganjurkan Sukan SEA buat kali pertama di negara mereka.
"Atlet Malaysia pula berada dalam keadaan baik, selamat dan fokus terhadap aksi mereka (Sukan SEA 2023),” katanya.
Sukan SEA 2023 yang masuk edisi ke-32 akan berakhir pada 17 Mei ini. - Bernama