Pengambilan suplemen kreatinin lebih selamat

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Noor Kamsina (kanan).

SHAH ALAM - Pengambilan minuman mengandungi kreatinin sebagai suplemen atau makanan tambahan bagi meningkatkan otot badan adalah lebih selamat berbanding steroid.

Pegawai Pemakanan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Noor Kamsina Aziz berkata, bahan berkenaan dapat membantu individu untuk mengekalkan stamina dalam tempoh yang panjang selain turut meningkatkan tenaga dan kekuatan mereka.

Iklan
Iklan

"Cara yang selamat adalah dengan mengambil kreatinin sebagai suplemen. Ia dapat meningkatkan tenaga dan bersenam lebih lama. Selalunya kreatinin dalam bentuk serbuk (minuman) perlu dibancuh.

"Semakin kerap bersenam, semakin banyak otot dan kekuatan dapat dihasilkan. Tapi, jangan ambil suplemen sahaja tanpa melakukan senaman, ia tidak akan dapat sebarang hasil,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah Noor Kamsina, penggunaan bahan terlarang seperti steroid akan menyebabkan pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan.

Ujarnya, walaupun impak dapat dirasai dengan cepat, namun hasil yang diterima hanya sementara justeru lebih baik membina otot secara semula jadi biarpun memakan masa yang lama tetapi berbaloi.

Iklan

"Jika ambil bahan terlarang seperti penggalak, ia bukan semula jadi sebaliknya anabolik iaitu bina otot secara hormon.

"Ia sekali gus akan berlaku kesan sampingan seperti gangguan hormon dan sistem fungsi badan yang lain.

"Penggunaan steroid pula akan merenjatkan pengeluaran testosteron secara semula jadi dan menyebabkan lelaki mempunyai payudara selain hormon mereka terencat kerana penambahan bahan dalam badan yang tidak dapat diproses,” tegasnya.

Bagaimanapun katanya lagi, usaha, disiplin, keazaman yang tinggi termasuk ketetapan masa perlu dilakukan bagi mendapat hasil yang diinginkan.

"Kita manusia bukan robot yang tiada fisiologi dan hormon. Jadi perlu realistik dari segi garis masa. Untuk bina otot ini bukan seminggu dua tetapi berbulan,” ujarnya.

Menurutnya, penyediaan makanan dan latihan juga perlu dititikberatkan oleh pembina badan kerana ia dapat membantu meningkatkan otot secara semula jadi tanpa paksaan.

"Tetapi kena faham fisiologi badan agar kita tidak berlebihan (bersenam) hingga memudaratkan diri,” katanya.