KUALA LUMPUR - Sebanyak 22 ekor ular ditemui dalam bagasi berdaftar di Lapangan Terbang Chennai, India melalui penerbangan dari Kuala Lumpur, Jumaat lalu disahkan diseludup keluar serta berstatus 'check in baggage' dari negara ini.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi kenyataan berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan melibatkan 'hand carry baggage' sahaja.
Menurut kenyataan tersebut, bagasi berkenaan adalah berstatus 'check-in baggage' yang mana bagasi tersebut diterima oleh pihak syarikat penerbangan dan di bawah kawalan sepenuhnya oleh Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) (AVSEC).
"Bagasi penumpang yang berstatus 'check-in baggage' perlu didaftarkan di kaunter 'check-in bag’ di mesin pengimbas milik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum penumpang melalui kawasan pemeriksaan Imigresen dan Kastam.
Katanya, berkaitan dengan pemeriksaan bagasi berdaftar berstatus 'check-in baggage', JKDM dimaklumkan bahawa bagasi berdaftar ini diterima oleh pihak syarikat penerbangan dan diimbas oleh mesin pengimbas bagasi di bahagian 'in-line baggage screening'.
"Pemeriksaan ini dijalankan di bawah kawalan dan seliaan sepenuhnya oleh Polis Bantuan MAHB (AVSEC) bagi memastikan keselamatan pesawat, kawasan lapangan terbang dan penerbangan yang mana lebih tertumpu kepada barangan berbahaya dan berisiko seperti senjata api, bom, peluru dan seumpamanya.
"Pengimbasan dan pemantauan imej semua bagasi dilakukan sepenuhnya oleh Polis Bantuan MAHB, KLIA yang bertugas dan hasil pemeriksaan tersebut akan disalurkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan," katanya.
Menurutnya, dalam kes ini, bagasi yang diseludup keluar adalah berstatus 'check-in baggage'.
Pada Jumaat, pihak berkuasa lapangan terbang India menemukan 22 ekor ular dalam bagasi seorang wanita yang tiba dari Kuala Lumpur, di lapangan terbang Chennai.
Menurut Jabatan Kastam Chennai, penumpang wanita itu ditahan sebaik tiba dengan penerbangan AirAsia serta menemukan pelbagai spesies ular dan seekor kameleon atau sumpah-sumpah ketika melakukan pemeriksaan ke atas bagasi wanita itu.