MELAKA TENGAH - Melaka berpotensi menjadi pencetus dan pengeluar industri makanan herba, sarang burung walit di negara ini.
Penasihat Persatuan Burung Walit Melaka, Datuk Wong Chong Lin berkata, ia mampu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan melalui industri tersebut.
Menurutnya, pemilihan Melaka disebabkan faktor sejarah yang ditinggalkan nenek moyang terdahulu menjadikan makanan tersebut sebagai makanan tradisi.
"Makanan yang telah diperkenalkan sejak 600 tahun dahulu seharusnya dikekalkan di negeri ini disebabkan budaya pemakanan tersebut hampir sama dengan budaya masyarakat di China dan kita juga mencatatkan kehadiran ramai pelancong dari negara itu.
"Kita melihat produk yang dihasilkan di negeri ini dijadikan sebagai produk eksport yang akan dihantar ke negara China malah Melaka dikenali sebagai pencetus industri sarang burung walit di Malaysia," katanya.
Chong Lin berkata, pada masa akan datang Melaka bakal dijadikan sebagai pengeluar terbesar bagi industri tersebut dan setakat ini terdapat lebih 300 ladang yang telah menghasilkan sarang burung di Melaka.
"Walaupun Indonesia merupakan antara pengeluar yang memasarkan produk sama di China, namun mereka lebih mementingkan kuantiti dari kualiti berbanding Melaka yang menekankan aspek kualiti yang menjadi keutamaan.
"Kami juga sedia membimbing mana-mana usahawan yang berminat dengan industri ini untuk menyertainya secara tidak langsung dapat menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan," katanya.