KOTA KINABALU - Rakyat di Semenanjung baru-baru ini menerima berita gembira apabila kerajaan mengumumkan subsidi tol selama empat hari sempena perayaan Aidilfitri.
Namun berbeza bagi rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung terpaksa menghabiskan wang demi membeli tiket penerbangan untuk pulang ke negeri masing-masing dengan harga 'kayangan'.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah mendakwa, rakyat Sabah dan Sarawak sering dijadikan mangsa buli syarikat penerbangan nasional sedia ada apabila tiba musim perayaan.
"Saya kesal kerana warga Sabah dan Sarawak terdiri daripada golongan pelajar dan pekerja rendah di Semenanjung yang terpaksa memerah keringat bagi membeli tiket untuk pulang ke Borneo.
"Syarikat penerbangan sekarang akan mengambil kesempatan meraih keuntungan berlipat ganda dengan menaikan harga tiket sehingga 500 peratus kepada rakyat Sabah apabila menjelang hari perayaan.
"Sedangkan kerajaan Persekutuan membelanjakan RM93 juta subsidi tol kepada rakyat di Semenanjung selama empat hari pada perayaan Aidilfitri tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat keseimbangan rakyat Semenanjung dan Borneo supaya mendapat subsidi yang sama rata.
"Warga Sabah dan Sarawak selalu dipandang sebelah mata dalam agihan subsidi walaupun kedua-dua wilayah ini menjadi penyumbang terbesar hasil ekonomi negara.
"Sepatutnya rakyat Sabah dan Sarawak tidak terkecuali menikmati subsidi untuk mengurangkan nilai tiket penerbangan harga 'kayangan' ke Borneo setiap kali menjelang Aidilfitri," ujarnya.
Mengambil kira situasi itu juga, Masiung turut mencadangkan kerajaan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri supaya rakyat negeri ini mendapat manfaatnya termasuk sebagai cabang ekonomi baharu seperti yang dilaksanakan di Sarawak.
Katanya, cadangan itu wajar dijadikan keutamaan dalam agenda pembangunan Sabah kerana ia merupakan salah satu pelaburan yang berpotensi tinggi.
"Sudah tiba masanya kita perlu menerokai industri penerbangan sendiri sebagai pelaburan jangka panjang kerajaan Sabah.
"Industri penerbangan di Sabah perlu diwujudkan supaya rakyat negeri ini mendapat menfaat selain menyumbang kepada pembangunan domestik," katanya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa cadangan penubuhan syarikat penerbangan sendiri akan disuarakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Mei depan.
"Saya yakin kerajaan Sabah mampu melaksanakan cadangan baharu itu kerana ia dianggap penting untuk membantu rakyat Sabah, pegawai kerajaan dan pemimpin Sabah untuk berulang-alik antara Semenanjung dan Sabah dengan harga tiket berpatutan," katanya.