KLUANG - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menunggang motosikal secara merbahaya dengan melakukan aksi 'Superman' yang tular di Facebook baru-baru ini, ditahan polis pada tengah hari Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, remaja berkenaan ditahan di rumahnya di Taman Kluang Barat dekat sini kira-kira jam 12.40 tengahari.
Katanya, sebelum itu pihaknya telah mengesan satu video menunjukkan dua penunggang motosikal melakukan aksi dengan meluruskan kaki di atas motosikal dipercayai di Jalan Lingkaran Tengah, Taman Kluang Perdana, Kluang.
"Berikutan itu, pihak polis telah pergi ke rumah remaja berkenaan dan mendapati motosikal yang digunakan ada di hadapan kediamannya.
"Hasil siasatan mendapati remaja berkenaan mengaku melakukan aksi dimaksudkan pada hari kejadian dan ditahan bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.
"Seorang lagi suspek yang dipercayai menunggang Honda Wave dan terbabit dalam insiden sama itu kini diburu polis," katanya dalam kenyataan Rabu.
Menurut Bahrin lagi, remaja berkenaan didapati telah menunggang motosikal secara bahaya pada 1 Mei lalu, di Jalan Lingkaran Tengah, Taman Perdana, Kluang.