Dedikasi Chong Wei buat rakyat Malaysia

Iklan
Chong Wei dan 'musuh' tradisinya dari China, Lin Dan dipilih dalam Hall of Fame Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023.

LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kejayaannya dipilih untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebagai satu kebanggaan dan penghormatan tertinggi buat dirinya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, pengiktirafan itu adalah satu kegemilangan buat rakyat Malaysia yang menyokongnya sejak menceburi arena tersebut 19 tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Apabila anda melihat beberapa bakat yang menghiasi arena badminton pada masa lalu, ia sukar dipercayai.

"Saya berasa sangat berbesar hati menyertai Hall of Fame. Tanpa jurulatih, rakan sepasukan, keluarga dan pemain lawan, saya tidak akan dapat mencapai ini," katanya menerusi catatan di Facebook pada Rabu.

Iklan

Chong Wei menjadi pemain Malaysia pertama dipilih untuk berada di Dewan Kemasyhuran BWF sejak Wong Peng Soon pada 1999.

Beliau dengan rendah diri turut melahirkan penghargaan buat pelbagai pihak yang menyokongnya selama ini.

Iklan

"Terima kasih kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Penaja yang sentiasa berada di belakang saya tidak kira dalam apa jua situasi termasuk ketika saya mengalami situasi paling sukar.

"Akhir sekali kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih kepada anda semua," katanya.

Pemain Malaysia lain yang turut diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF ialah Eddy Choong (1997), David Choong, Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Tan Yee Khan (1998).

BWF dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pemilihan Chong Wei dan musuh tradisinya dari China, Lin Dan untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran badan induk itu.

Majlis pemasyhuran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 Mei ini.

Chong Wei, 41 dan Lin Dan, 40, yang memulakan kerjaya mereka di peringkat antarabangsa pada awal 2000, menempa nama dalam sukan badminton sehingga masing-masing memutuskan untuk bersara pada 2019 dan 2020.

Chong Wei yang bersara akibat masalah kesihatan kanser hidung dialaminya telah meraih 47 gelaran Siri Super/Jelajah Dunia BWF sepanjang hampir dua dekad penglibatannya.

Beliau memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.

Ching Wei merupakan pemain badminton paling berjaya Malaysia, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.

Lin Dan puka tiada tandingan pada penyertaan di kejohanan utama dengan dua gelaran jaguh Olimpik dan lima kejohanan dunia.