Warga asing rayu minta dilepaskan

Iklan
JPJ melaksanakan Ops Pewa untuk mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang memandu tanpa mematuhi peraturan undang-undang ditetapkan. (Gambar kecil: Mohd Zaki)

KUALA LUMPUR - Beberapa pemandu dan penunggang warga asing cuba memujuk rayu pegawai penguat kuasa selepas ditahan kerana membawa kenderaan tanpa lesen.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) itu dijalankan di sekitar ibu negara bagi memastikan pemandu warga asing mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, statistik merekodkan sebanyak 143 buah kenderaan dipandu warga asing disita sejak Januari hingga April lalu.

"Daripada jumlah itu, 121 ialah motosikal, kereta (14) dan lori (lapan).

Iklan

Beliau berkata, sitaan dilakukan kerana mereka tidak memiliki lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insuran.

Katanya, antara alasan yang diberikan selepas ditahan adalah mahu keluar untuk mencari makan, malah ada juga yang merayu untuk dilepaskan dengan mendakwa sebagai keluarga susah dan mahu menghantar duit ke kampung.

Iklan

Tambahnya, siasatan mendapati kebanyakan kenderaan diberi guna oleh penduduk tempatan kepada warga asing asing sama ada secara sewa, dibeli tanpa dibuat tukar nama di JPJ secara sah dan juga majikan tempatan yang membenarkan pekerja (warga asing) menggunakan kenderaan tersebut.

"Sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, semua pengguna mestilah mematuhi peraturan lalu lintas," katanya.

Ujar beliau, pemilik kenderaan warga tempatan juga tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan kenderaan digunakan oleh pekerja asing.

"Pastikan pemandu tersebut mempunyai lesen memandu dan permit kerja yang sah, pemilik juga tidak terlepas daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu memandu tanpa lesen memandu dan tiada cukai jalan serta insuran” ujarnya.

Tegasnya, operasi berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan daripada semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu warga asing tanpa kompromi bagi mereka yang ingkar.