Lesen memandu kini boleh diperbaharui 10 tahun

Iklan
Orang ramai boleh mengambil peluang ini mulai 8 Mei ini di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran instimewa.

Menteri pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pembaharuan lesen untuk tempoh 10 tahun itu antara dua inisiatif pembaharuan LMM dilaksana pihaknya.

Iklan
Iklan

Beliau juga memaklumkan, orang ramai boleh mengambil peluang ini mulai 8 Mei ini di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

"Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui LMM untuk tempoh 10 tahun sekali gus akan hanya dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja, maksudnya ada diskaun 10 peratus.

Iklan

"Bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30.

"Orang ramai juga akan dibenarkan memperbaharui LMM antara 1 sehingga 10 tahun mengikut pilihan masing-masing tertakluk kepada had maksima 10 tahun.

Iklan

"Namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekali gus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10," katanya pada sidang media khas pada Rabu.

Beliau memaklumkan, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja dan tidak terpakai kepada warganegara asing atau mana-mana pemegang pas permit jangka masa panjang atau Kad MyKAS yang mana terikat dengan tempoh sah laku pasport individu terbabit.

Menerusi sidang media itu jua Loke memaklumkan inisiatif kedua adalah kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh.

Beliau berkata, ia mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik Covid-19 serta kekangan dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM masing-masing kerana tidak berpeluang untuk pulang ke tanah air.

"MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian.

"Namun, kebenaran khas ini hanya terhad kepada LMM yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan sahaja.

"Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2023 sahaja. Peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula pada 1 Januari 2024," katanya.

Loke juga menjelaskan, pihak JPJ sudah bersedia untuk melaksanakan dua inisiatif yang diumumkan itu. - Awani