MASUK universiti yang terkenal adalah impian besar bagi kebanyakan anak muda. Akan tetapi, kemasukan ke institusi pra universiti seperti matrikulasi dan peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sepatutnya setaraf tetapi realitinya jauh berbeza, akan menentukan nasib dan masa depan seseorang pelajar.
Apabila mendapat tawaran matrikulasi pada tahun 2013, saya masih kurang pasti sama ada harus memasuki kolej matrikulasi ataupun meneruskan di peringkat STPM.
Pada masa itu, ramai guru saya menasihati untuk memohon matrikulasi kerana kemasukan ke program ini dianggap satu jaminan untuk ke universiti awam nanti. Pada masa itu, saya tidak percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh guru-guru.
Akhirnya saya memilih matrikulasi dan menikmati persekitaran pembelajaran serta berusaha sepenuhnya untuk mendapat keputusan cemerlang di sana. Kebanyakan para pensyarah juga amat profesional dan tidak jemu mencurah ilmu serta memberi nasihat kepada para pelajar.
Setelah satu semester berakhir, saya agak bimbang dengan keputusan peperiksaan kerana terdapat beberapa soalan yang saya tidak mampu jawab sepenuhnya. Kawan-kawan saya yang telah memeriksa buku rujukan sebaik sahaja peperiksaan berakhir juga bimbang dengan keputusan mereka sendiri.
Bagaimanapun apabila keputusan diumumkan, saya memperoleh CGPA 4.0 iaitu CGPA tertinggi! Ketika rasa bersyukur, saya juga rasa hairan apabila mendapat tahu ramai pelajar matrikulasi lain juga mendapat CGPA 4.0. Lagi ramai pelajar mendapat CGPA 3.7 dan ke atas.
Pada masa itu saya rasa pelik. Kenapa ada begitu ramai pelajar yang boleh mendapat keputusan cemerlang? Namun pada masa itu, saya cuma anggap tahap akademik para pelajar kolej matrikulasi sememangnya tinggi, ataupun mungkin semua pelajar juga bertuah.
Apabila kami menyertai aktiviti kokurikulum, perkara pertama yang diterangkan oleh pensyarah ialah kelebihan yang diberi kepada para pelajar matrikulasi. Asalkan menyertai aktiviti kokurikulum, kami dikira mencatat penyertaan bertaraf negeri atas sebab setiap negeri hanya mempunyai satu kolej matrikulasi. Disebabkan itu juga, markah kokurikulum yang diberikan kepada pelajar kokurikulum adalah amat tinggi.
Pada saat itu saya baru sedar dan faham apa yang dikatakan oleh guru sebelum memasuki matrikulasi. Sedangkan pelajar STPM masih perlu merebut peluang yang nipis dan bersusah payah untuk menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum, pelajar matrikulasi tidak perlu rajin sangat kerana secara automatik penyertaan mereka akan diiktiraf sebagai penyertaan tahap peringkat negeri.
Senang sahaja untuk kami memperoleh markah kokurikulum sebanyak 90 dan ke atas, sedangkan markah tertinggi ialah 100.
Pada masa saya menamatkan pembelajaran di matrikulasi dan perlu bersiap sedia untuk cabaran di universiti awam yang akan datang, saya teringat kawan-kawan yang mengambil STPM, sedang meneruskan pembelajaran mereka di sekolah menengah.
Saya rasa bertuah kerana diberi layanan khas untuk menamatkan pelajaran pra universiti setahun awal dan diberi pilihan kursus kedua di universiti awam. Majoriti daripada kawan saya di matrikulasi juga amat bertuah kerana diberi pilihan kursus yang diminati.
Namun saya rasa bersalah kepada kawan-kawan STPM yang juga cemerlang, rajin belajar dan berhasrat tinggi untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam terkemuka dan diberi kursus yang paling diminati.
Mereka tidak menikmati peluang dan keistimewaan seperti saya. Mereka terpaksa belajar selama dua tahun untuk mengambil peperiksaan STPM sepenuhnya dan akhirnya kebanyakan daripada mereka tidak diberi kursus yang diminati walaupun amat cemerlang.
Yang berhasrat tinggi untuk menjadi ahli farmasi hanya diberi pilihan kursus kelapan dan banyak lagi contoh serupa yang menyedihkan. Itulah nasib. Tanda permulaan yang jauh berbeza dan tidak adil itu telah mencorakkan dan menentukan kehidupan dan masa depan orang muda di Malaysia, tanah air kita.
* Danny Ho ialah bekas penuntut matrikulasi dan kini telah menamatkan pelajaran di Universiti Malaya