Gerakan lantik KM: 10 ADUN DAP nafi terlibat

Iklan
Laporan Sinar Harian

GEORGETOWN - Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam gerakan menghalang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memegang jawatannya semula sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kesemua mereka yang tidak memegang jawatan dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri menegaskan tidak bercakap dengan portal Malaysiakini berhubung laporan bertajuk, 'Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang'.

Iklan
Iklan

Mereka terdiri ADUN Air Putih, Lim Guan Eng; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H'ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam) dan Ong Ah Teong (Batu Lanchang).

Turut bersama, Daniel Gooi Zi Sen (Pangkalan Kota); Satees Muniandy (Bagan Dalam); Syarleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Iklan

Dalam kenyataan bersama, mereka mendakwa artikel disiarkan portal itu berniat jahat dan tidak adil dengan tidak menyebut siapa tiga ADUN tersebut sekali gus mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap mereka.

"Untuk mengaitkan laporan itu dengan kami adalah tidak benar dan palsu.

Iklan

"Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana Malaysiakini mendapat maklumat mereka yang tidak berasas ini," kata mereka.

Dalam pada itu, mereka berkata, pencalonan untuk kerusi dan jawatan ditentukan oleh parti dan mereka akan menghormati keputusan parti.

"Kami tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian kami daripada objektif kami untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.

"Memenangi pilihan raya negeri akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan kerajaan perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang," katanya lagi.