Ustaz Wadi mohon tiada campur tangan pihak ketiga dalam siasatan

Iklan
Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub. - Foto Facebook

SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub harap agar tiada campur tangan pihak ketiga dalam siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berhubung program sembang santai yang dihadirinya di negeri berkenaan pada 28 Mac lalu.

Menurut beliau, JAIPs yang merupakan badan kerajaan negeri sepatutnya bebas dan tidak wajar menerima sebarang tekanan daripada mana-mana pihak berhubung siasatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tetapi hari ini, kita melihat ada orang berkali-kali membuat hantaran berkaitan dengan siasatan yang akan berlaku ke atas saya di JAIPs. Saya sangat simpati dengan tokoh yang ada ijazah doktor falsafah (PhD) ini tetapi kerap kali beraksi tidak kena pada tempat.

"Selain daripada gagal faham keadaan berulang kali, dalam hantaran beliau pada 1 Mei juga beliau minta JAIPs tanya kitab Ibn Taimiah mana yang saya sudah khatam. Sedangkan rakyat Malaysia yang tiada PHD pun boleh faham bahawa soal siasat ini berkenaan sembang santai yang saya hadir di Kompleks Pendidikan MATIN.

Iklan

"Tetapi itulah keadaan beliau yang mana kita doakan supaya beliau sihat, dapat bertindak secara rasional sesuai dengan jawatan yang disandang,” katanya dalam satu hantaran video di Facebooknya pada Rabu.

Pada Rabu, JAIPs gagal mengambil keterangan Mohamad Wadi berikutan penceramah bebas itu dikatakan telah menghilangkan diri dari bilik siasatan.

Iklan

Menurut Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim, Mohamad Wadi dilaporkan hadir ke pejabat itu kira-kira jam 10 pagi pada Selasa bersama dua peguamnya tetapi dikatakan keluar dari bangunan pejabat itu tidak lama kemudian tanpa sempat diambil keterangan.

Susulan itu, Mohamad Wadi mencabar JAIPs untuk mengambil tindakan sivil terhadap dirinya sekiranya kenyataan yang dikeluarkan beliau adalah tidak benar.

"Saya pada hari ini menegaskan bahawa kenyataan kami benar dan sekiranya JAIPs yakin bahawa kenyataan kami jauh tersasar dari realiti sebenar, saya mencabar JAIPs pada hari ini untuk menyaman sivil terhadap mana-mana individu terlibat atau terhadap saya sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencabar JAIPs untuk menyiarkan rakaman yang ada semasa proses siasatan berlaku bagi penilaian khalayak ramai.

"Ketika kami ke tingkat dua JAIPs dan saya dijemput masuk ke dalam bilik siasatan, saya mendapati ada sebuah kamera yang merakam secara audio dan video. Maksudnya, kamera itu merakam keseluruhan keadaan sebenar yang berlaku. Perbualan saya, pegawai bertugas dan peguam.

"Saya bersedia untuk rakaman yang dilakukan JAIPs dalam bilik siasatan itu disiarkan kepada umum untuk rakyat menilai.

"Saya bersedia untuk rakyat melihat dan mendengar sendiri apa yang berlaku dalam bilik itu sehingga siasatan tidak berjaya dilakukan,” katanya.