BELGRADE - Lapan pelajar dan seorang pengawal keselamatan terbunuh dalam kejadian tembakan di sekolah di ibu kota Serbia, Belgrade pada Rabu.
Kementerian Dalam Negeri berkata, seorang pelajar ditahan kerana disyaki melakukan serangan itu.
Tembakan berlaku pada jam 8.40 pagi (waktu tempatan) di sebuah sekolah rendah di bandar daerah Vracar di Belgrade.
Polis bertindak pantas dengan mengepung kejiranan ketika ibu-bapa bergegas ke lokasi kejadian.
"Semua pasukan polis masih berada di lokasi kejadian dan melakukan siasatan lanjut mengenai insiden tembakan tersebut," kata kementerian itu.
Presiden Daerah Vracar, Milan Nedeljkovic berkata, pengawal keselamatan sekolah itu berkemungkinan cuba menghalang lebih banyak kematian sehingga menyebabkan dia terkorban.
Sehingga pagi Rabu, polis berkata mereka berjaya menahan seorang pelajar susulan insiden itu.
Bagaimanapun, polis tidak mengeluarkan sebarang maklumat tambahan mengenai suspek penembak atau mengulas sebarang motif berkaitannya - AFP