ADUN Chukai, tiga individu terselamat dalam nahas

Iklan
Keadaan kenderaan dinaiki Hanafiah bersama tiga individu lain selepas terlibat kemalangan di Kilometer 127.7 LPT 1, pada petang Rabu. Foto: Facebook Sulaiman Sulong

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat bersama tiga individu lain terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 127.7 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT 1), pada petang Rabu.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebooknya awal pagi Khamis, Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri memaklumkan mereka tidak mengalami kecederaan serius dalam insiden itu.

Iklan
Iklan

"Perjuangan tidak akan berhenti kecuali nyawa berpisah dari jasad. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami.

Difahamkan, Hanafiah bersama pemandunya, Mohd Zubaidi Zahari, 33 serta dua rakan mereka menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menyelesaikan urusan kerja di Kuala Lumpur sebelum ditimpa kemalangan kira-kira jam 4.20 petang.

Iklan

Menurut Mohd Zubaidi, ketika kejadian kenderaan dipandunya berada di lorong sebelah kanan sebelum sebuah lori membawa muatan buah-buahan tiba tiba memasuki lorong sama dari sebelah kiri.

"Lori terbabit tidak memberi sebarang isyarat dan menghimpit kenderaan yang saya pandu menyebabkan kenderaan kami hilang kawalan lalu terbalik.

Iklan

"Saya dan dua penumpang lain hanya cedera ringan namun YB (Hanafiah) beritahu sakit pada bahagian belakang badan.

"Syukurlah kami semua selamat. YB (Hanafiah) kini sedang mendapat rawatan di Kuantan Medical Centre (KMC)," katanya ketika dihubungi di sini.

Insiden menimpa ADUN Chukai itu turut dikongsikan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menerusi hantaran di Facebooknya pada malam Rabu.

Beliau memaklumkan Exco Kerajaan Terengganu berada dalam keadaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

"Allahuakbar. Dikhabarkan sahabat ambe (saya) YB Hj Hanafiah Mat atau lebih mesra YBC, Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Chukai kemalangan petang tadi (Rabu)," tulisnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.30 petang di laluan arah timur.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki Hanafiah yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Terengganu.

"Berdasarkan keterangan pemandu kedua-dua kenderaan terlibat, kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 26 tahun yang berada di lorong kiri hilang kawalan sebelum melanggar SUV yang berada di lorong kanan.

"Ekoran perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas melanggar besi penghadang di tengah laluan sebelum terbalik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Azhar berkata, dalam kemalangan itu, semua mangsa terselamat tanpa sebarang kecederaan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian 09-2716086 bagi membantu siasatan," katanya.