Haaland cipta rekod baharu

Iklan
Haaland (tengah) terus tajam bersama City. FOTO:EPA

ERLING Haaland mencipta rekod baharu 35 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini ketika Manchester City mengatasi West Ham 3-0 untuk kembali ke kedudukan teratas liga.

City dipaksa bekerja oleh lawan sebelum mencatat kemenangan sekali gus mendahului satu mata di depan Arsenal dan memiliki kelebihan perlawanan dalam tangan.

Iklan
Iklan

Haaland turut melebarkan rekodnya dengan meledak gol ke-51 dalam semua pertandingan pada musim pertamanya di City.

"Saya tidak memikirkan semua rekod ini. Saya akan pulang ke rumah, bermain permainan video, makan dan kemudian tidur," katanya.

Iklan

Pemain Norway itu diberi penghargaan oleh rakan sepasukannya ketika dia meninggalkan padang selepas tamat perlawanan.

"Dalam bola sepak apabila ada majlis istimewa, kami perlu menunjukkan betapa istimewanya perkara itu.

Iklan

"Kami sangat gembira untuk Haaland kerana sangat istimewa untuk memiliki pemain seperti dia. Rekod itu akan dipecahkan pada masa hadapan, mungkin olehnya juga," kata pengendali City, Pep Guardiola.

Pasukan pelawat kehilangan pemain kebangsaan England, Declan Rice, Tomas Soucek dan Nayef Aguerd kerana kecederaan bermakna pengendali David Moyes hanya boleh menyenaraikan lima pemain gantian.

Namun anak buah Moyes mampu bertahan sehingga 50 minit perlawanan sebelum ditundukkan di Etihad dan masih kekal berada di ambang zon penyingkiran.

Nathan Ake memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-50 sebelum Haaland membolosi gawang pelawat selang dua minit kemudian.

Pemain berusia 22 tahun ini kini melepasi rekod 34 gol dilakukan Alan Shearer dan Andy Cole masing-masing ketika bersama Blackburn dan Newcastle pada era 1990-an.

Namun, rekod baharu dilakukannya itu masih jauh untuk menyamai rekod 60 jaringan sepanjang zaman dalam tempoh semusim EPL yang dilakukan Dixie Dean (Everton) pada 1927/28.

Phil Foden yang dibawa masuk dari bangku simpanan memuktamadkan keputusan 3-0 City di laman sendiri, hanya lima minit sebelum tamat perlawanan.