JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengalu-alukan warga emas di negeri ini kembali aktif bekerja selepas tempoh persaraan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, selain untuk memperoleh pendapatan, kemahiran yang dimiliki terutama golongan profesional dapat terus disalurkan.
"Jadi di Johor kita amat menggalakkan warga emas yang dalam bidang profesional dapat terus berkhidmat selepas usia persaraan mereka.
"Kita mengalu-alukan mereka kembali bekerja untuk terus menjana pendapatan dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat," katanya selepas melepaskan peserta program Walk4health, di sini hari ini.
Seramai 150 peserta terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak dari Persatuan Cerebral Palsy Johor, Persatuan Pekak Johor dan JB Happy and Joyous Club menyertai program berjalan demi kesihatan anjuran Persatuan Warga Emas Johor Bahru.
Cai Tung berkata, kebanyakan golongan profesional yang telah bersara diambil bekerja sebagai konsultan di mana-mana syarikat swasta.
"Negara-negara jiran mengambil warga emas ini untuk menjalankan kerja-kerja yang mudah tapi yang penting waktu kerja itu disingkatkan kepada dua atau tiga jam sahaja sehari," katanya.
Menurutnya, bagi golongan warga emas yang benar-benar tidak mahu kembali bekerja, kerajaan menyediakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di seluruh negara bagi memastikan golongan ini kekal aktif.
Dalam ucapannya, ADUN Johor Jaya itu berkata menjelang tahun 2030, Malaysia akan mencapai negara menua dengan 15 peratus rakyat Malaysia akan jadi warga emas.
"Jadi usaha Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah menubuhkan pusat aktiviti warga emas untuk menggalakkan aktiviti kepada mereka
"Kerana mereka ini adalah golongan yang telah berkhidmat untuk negara jadi kita amat mementingkan kebajikan dan kesejahteraan warga emas," katanya