MOSCOW/KYIV - Dua dron dilaporkan cuba menyerang kediaman Presiden Rusia Vladimir Putin di Kremlin pada malam Selasa, lapor Xinhua memetik siaran media presiden Rusia pada Rabu.
Kremlin memaklumkan pasukan tentera dan perkhidmatan khas menggunakan radar perang untuk menggagalkan serangan dua dron berkenaan.
Di sebalik percubaan serangan itu, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan, menurut Kremlin.
"Kami menganggap tindakan itu sebagai perbuatan pengganas dirancang cuba meragut nyawa presiden Rusia, yang dilakukan pada malam sebelum perarakan Victory Day 9 Mei, di mana tetamu asing turut dijadual hadir," menurut Kremlin.
Putin dilaporkan berada di kediaman presiden Novo-Ogaryovo di pinggir bandar Moscow pada waktu kejadian, menurut jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.
Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak memberitahu agensi berita Ukrinform bahawa Ukraine tidak terlibat dalam serangan dron ke atas Kremlin.
"Ukraine tidak menyerang Kremlin atau mana-mana kemudahan lain di wilayah Persekutuan Rusia," kata Podolyak sambil menjelaskan bahawa pasukan tentera Ukraine hanya menyasarkan kemudahan ketenteraan di wilayah yang diduduki sementara di Ukraine.
Beliau menjelaskan bahawa serangan ke atas kemudahan di Rusia termasuk Kremlin, tidak memenuhi tujuan ketenteraan atau menyumbang kepada persediaan Ukraine untuk sebarang operasi serangan balas.
Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin pada Rabu mengumumkan larangan melancarkan dron di ibu negara Rusia.
Kremlin memaklumkan Rusia berhak untuk bertindak balas dengan sewajarnya. - Bernama