SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merekodkan 4,704 khidmat khas bagi menangkap ular di negeri itu dalam tempoh tiga bulan sejak Februari.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, untuk pecahan kes itu, sebanyak 1,610 kes dilaporkan pada bulan Februari, Mac (1,660) dan 1,434 kes pada April.
Beliau berkata, pihaknya tidak tolak kemungkinan cuaca panas menyebabkan reptilia itu keluar untuk mencari kawasan yang sesuai.
"Selain itu, pastikan rumah tiada ruang atau lubang untuk reptilia itu masuk,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, sebelum menaiki kenderaan juga perlu diperiksa bagi memastikan tiada haiwan berbahaya itu bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
Katanya, hubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan segera dan pastikan diri serta keluarga berada di kawasan selamat.
"Anggota operasi sentiasa siap siaga dalam setiap operasi. Kemahiran dan peralatan khas digunakan di setiap kes khidmat menangkap ular,” ujarnya.