Samun emas RM1.8 juta: Polis tahan lelaki 50-an

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

KUALA PILAH - Polis menahan seorang lelaki susulan kejadian samun bersenjata parang panjang di lorong belakang sebuah kedai emas dekat sini pada pagi Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 50-an itu ditangkap di daerah ini lebih kurang jam 10 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Iklan
Iklan

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, dua pekerja pembekal barang kemas disamun dua suspek bertopeng dan bersenjatakan parang di lorong belakang Kedai Emas Nur Jannah,Kuala Pilah.

Mangsa dipercayai membawa tujuh kilogram emas dengan anggaran nilai RM1.8 juta malah hebahan dan video kejadian berdurasi 33 saat turut tular di media sosial.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Syahrul Anuar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menggalakkan pengusaha kedai emas di pekan ini menggunakan khidmat kawalan keselamatan terutama apabila melibatkan kuantiti bekalan barang kemas yang agak banyak.

Katanya, ia sebagai langkah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku dalam tempoh berkenaan.

Iklan

Dalam pada itu ditanya mengenai pemasangan kemera litar tertutup (CCTV) di kedai emas sekitar pekan ini, Syahrul Anuar berkata, kesemuanya mempunyai kelengkapan CCTV cuma mereka perlu menggunakan CCTV yang berkualiti dan dapat menyimpan rekod data yang lebih besar.

"Kes jenayah di daerah Kuala Pilah juga adalah terkawal, bagaimanapun kejadian samun pada Rabu merupakan kes pertama berlaku di kawasan parkir belakang kedai emas dan bukannya di dalam kedai.

"Berdasarkan rekod juga terdapat satu kes kecurian emas pada April tahun lalu dan telah selesai, suspek sudah ditangkap serta di tuduh di mahkamah," jelasnya.