Pesilat negara dituntut tampil semangat juang tinggi

Iklan
Pasukan pencak silat negara bergambar bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebelum berlepas ke Phnom Penh untuk menyertai temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

BARISAN pesilat negara perlu menampilkan semangat juang tinggi ketika beraksi di Sukan SEA Kemboja yang bermula secara rasmi esok bagi menghadiahkan pingat kepada negara meskipun kurang pengalaman.

Jurulatih silat negara, Nasri Nasir berkata, walaupun skuad negara yang dibarisi 75 peratus atlet muda dan pertama kali beraksi di temasya itu, namun beliau mahu mereka tidak gentar berjuang habis-habisan demi negara.

Iklan
Iklan

"Apa yang membezakan mereka ialah daripada segi pengalaman namun bagi saya ia bukan satu masalah yang besar. Keseimbangan akan dapat diperoleh berdasarkan semangat dan keinginan mereka untuk menang.

"Semua persiapan telah dilakukan buat atlet menerusi beberapa kejohanan dan latihan sebelum ini, jadi kami harap mereka dapat mengekalkannya sehingga hari pertandingan berlangsung,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Khamis.

Iklan

Nasri dalam pada itu memaklumkan skuad negara berada dalam keadaan yang cukup baik bagi mengharungi saingan aksi lima hari di gelanggang silat bermula 6 hingga 10 Mei ini.

"Beberapa atlet sebelum ini ada mengalami kecederaan namun mereka telah kembali pulih seperti sedia kala, jadi boleh dikatakan skuad ini telah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengurus Pasukan Silat, Datuk Seri Khairudin E S Abd Samad mahu skuad itu menjadikan segala rintangan di Sukan SEA Kemboja sebagai pencetus dalam menjelmakan kilauan pingat emas buat negara.

Beliau berkata, rintangan seperti keadaan cuaca panas, venue kejohanan tidak sempurna dan sebagainya tidak seharusnya diendahkan pesilat negara.

"Bagi saya kita akan hadapi beberapa masalah, begitu juga kontinjen negara lain...Mereka juga akan menghadapi masalah sama...Insya-ALLAH sama-sama kita hadapi perkara itu,” katanya.

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) sebelum ini meletakkan sasaran dua emas kepada pesilat negara yang akan bersaing dalam Sukan SEA 2023 Kemboja di Phnom Penh, yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini. - Bernama