BATU PAHAT - Mangsa ribut di sekitar Taman Panchor dan Kampung Parit Imam di sini yang rumah mereka terjejas akibat bencana itu kira-kira jam 6 petang semalam, akan ditempatkan di rumah transit dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, rumah transit yang akan disediakan di sekitar daerah ini itu bertujuan memastikan mangsa dari 45 kediaman yang terjejas dapat menghuni sementara di tempat yang lebih selesa dan selamat.
Beliau berkata, setakat ini, ada dalam kalangan mangsa yang terpaksa menumpang di rumah saudara-mara dan rakan terdekat sementara kediaman mereka dibaik pulih.
"Kerosakan yang dialami termasuk melibatkan bumbung rumah sehingga ada yang tidak boleh didiami. Bagi kediaman dua tingkat jenis kos rendah pula bahagian atas sahaja yang rosak dan bahagian bawah rumah masih boleh didiami.
"Bagaimanapun, keselamatan mereka lebih diutamakan dan kita harap ada rumah transit untuk penempatan sementara kesemua mangsa ini,” katanya kepada Bernama selepas melawat kediaman mangsa yang terjejas di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk mendapatkan rumah transit itu secepat mungkin.
Sementara itu, seorang mangsa ribut, Ithnin Attan, 64, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya, Zabariah Sahat, 57, sedang menjaga anak jirannya sebelum mendengar bunyi bising dari bahagian atas rumahnya.
"Apabila naik ke atas rumah saya melihat bumbung sudah tiada dan perabot habis basah terkena hujan. Saya dan isteri rasa takut dan bimbang dengan keselamatan kami,” kata warga emas itu sambil berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku.
Seorang lagi mangsa ribut, Idayu Mohamad Adnan, 53, berkata, dia amat sedih dengan kejadian yang menimpa kerana barangan persiapan untuk majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri yang akan diadakan musnah apabila air membasahi bahagian dalam rumah termasuk dapur selepas bumbungnya tercabut. - Bernama