GEORGETOWN - Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa Proklamasi Melayu yang dicetuskan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Proklamasi Melayu itu tidak lain selain propaganda politik bagi meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat dan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, Mahathir tidak dapat menerima hakikat Anwar telah menjadi Perdana Menteri negara dan perkara itu menjadi punca kegusaran Mahathir.
"Proklamasi Melayu mungkin bertujuan menyelamatkan orang Melayu daripada dipinggirkan.
"Namun, sekiranya kita melihatnya dengan lebih teliti, ia bukan untuk menyelamatkan orang Melayu tetapi bermotif untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.
"Mahathir berpendapat bahawa beliau seorang lah yang dapat menyelamatkan orang Melayu daripada penindasan dan kezaliman.
"Tetapi dia mudah lupa, kadang-kadang sengaja dilupakan, bahawa dia adalah pemimpin yang gagal menyatukan orang Melayu," katanya dalam hantaran di facebook miliknya pada Khamis.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, pengisytiharan Proklamasi Melayu itu merupakan program menumpukan 12 perkara untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini.
Namun katanya, orang yang menjadi sumber pengisytiharan ini dan mereka yang menandatangani proklamasi tersebut merupakan pemimpin sama yang telah mengecewakan orang Melayu selama beberapa dekad.
"Mahathir walaupun menjawat jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, beliau tidak pernah berusaha secara serius untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.
"Namun, sebagaimana seluruh dunia sedar, retorik perkauman dan agama telah digunakan serta dimanipulasi oleh Mahathir untuk memperkayakan ahli keluarganya dan kroninya.
"Sekiranya Mahathir dan pemimpin Pas begitu tekad untuk memartabatkan orang Melayu, apa yang telah mereka lakukan selama ini?
"Mahathir adalah Perdana Menteri dengan kuasa diktator maya selama lebih 22 tahun. Mengapakah beliau tidak melakukan sesuatu yang memberi impak untuk meningkat taraf sosial dan ekonomi orang Melayu sepanjang beliau berkuasa," ujarnya.
Dalam pada itu, Ramasamy turut mengecam Pas yang telah menjadi parti pemerintah di Kelantan dan Terengganu selama beberapa dekad.
Beliau mempersoalkan mengapa orang Melayu di negeri ini begitu miskin sehingga terpaksa berhijrah ke bandar-bandar besar dan ke Singapura untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.
Malah katanya, kemudahan asas iaitu air yang mencukupi dan bersih belum diperoleh untuk rakyat di Kelantan.
"Bagi Pas, di bawah pimpinan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, agama hanyalah satu alat untuk memastikan ia kekal relevan kepada orang Melayu.
"Tanpa agama, Pas tidak berbeza sangat dengan parti politik lain," katanya.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, Mahathir dan Abdul Hadi boleh terus mengulangi mantera keruntuhan Kerajaan Perpaduan kerana itu adalah hak mereka untuk berbuat demikian.
Namun tegasnya, dengan mengulanginya, mereka secara tidak sengaja sedang mendedahkan sifat sebenar Proklamasi Melayu.
"Pengisytiharan itu adalah bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan memartabatkan orang Melayu," katanya.