Ribut: 'Saya tak sempat makan mi segera'

Iklan
Keadaan bumbung salah sebuah rumah yang diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Jalan Setia, Kampung Melayu Majidee pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Fatimah, Hamidah, Ahmad, Lizawati

JOHOR BAHRU -"Saya tak sempat makan maggie (mi segera), angin kuat terangkat zink belakang ke depan," Itu reaksi penduduk di Jalan Setia, Kampung Melayu Majidee, Lizawati A Gani, 36, ketika menceritakan mengenai kejadian ribut yang melanda kampung berkenaan pada Rabu.

Menurutnya, ketika kejadian berkenaan, dia tinggal bersendirian di rumah manakala kakaknya keluar bekerja di Seri Alam.

Iklan
Iklan

Lizawati berkata, dia nekad berlari keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri apabila beberapa atap di rumahnya itu diterbangkan angin menyebabkan ruangan dapurnya terdedah tanpa bumbung.

"Masa berlaku tu (angin kuat), dalam pukul dua lebih (petang)... saya kat dapur tengah masak maggie.

Iklan

"Hujan memang lebat dan angin kuat sampai terangkat zink di belakang ke depan, saya pula tinggal seorang masa tu.. Saya meluru keluar sebab takut.

"Sekarang ni saya tumpang rumah kawan di Stulang sebab dekat dan senang nak balik tengok rumah," katanya pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, kakaknya, Fatimah Mohd Shah, 43, berkata, dia bergegas pulang ke Kampung Melayu Majidee sebaik menerima panggilan daripada adiknya, namun tidak boleh masuk ke dalam rumah kerana keadaanny seolah-olah mahu runtuh.

"Justeru, kami berharap kerajaan dapat membantu kerana ketika ini hanya menumpang di rumah kawan buat sementara waktu. Kami sangat mengharapkan bantuan," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Bahari, 74, memberitahu ketika kejadian dia berhasrat mahu membetulkan zink di luar rumahnya, namun terpaksa membatalkan niatnya itu apabila angin terlalu kuat.

"Waktu kejadian saya ada di rumah dan mahu betulkan atap rumah kerana dimasuki air akibat hujan lebat. Tapi saya terpaksa tangguhkan dahulu sebab angin kuat sangat," katanya.

Bagi Hamidah Mohamed, 56, pula berkata, walaupun reda dengan kejadian yang berlaku namun dia mengakui sedih nasib yang menimpanya serta berharap keadaan akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

"Sewaktu kejadian, saya ada di rumah bersama anak-anak masa...kami memang terkejut bila dengar angin yang begitu kuat.

"Sebaik keluar dari rumah, saya lihat atap rumah sudah diterbangkan angin," ujarnya.