SEMENYIH - Polis rekod keterangan lebih 30 individu bagi membantu siasatan kehilangan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Putra, Bangi, dua minggu lalu.
Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, atau dipanggil Zahir dalam kalangan ahli keluarganya itu dikatakan keluar untuk bermain dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi, 15 April lalu.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pencarian masih dijalankan di kawasan yang lebih luas.
Menurutnya, usaha mencari di kawasan sungai sebelum ini juga dibantu bomba serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
"Operasi diteruskan di daerah berhampiran selain membuat penghebahan menerusi sistem amaran kanak-kanak hilang Nur Alert.
"Setakat hari ini, lebih 30 orang telah direkod keterangan membabitkan ahli keluarga, rakan sekelas serta saudara-mara mangsa," katanya selepas menyempurnakan Program Superheroes Challange Sempena Hari Polis Ke-212, anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Semenyih Eco Venture Resort, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam program berbentuk 'Fun Run' dan 'Spartan Race' ini adalah Pengerusi Perkep Selangor, Datin Roshafiza Abd Halim dan Ketua Jabatan Cawangan Khas Selangor, Senior Asisten Komisioner Abdul Basir Ahmad.
Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya menyiasat semua sudut sama ada kes kehilangan ini mempunyai kaitan dengan kes jenayah atau sebaliknya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan kanak-kanak itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Farah Nadia Mohd Hashim di talian 012 3600232 atau hubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.