PRN Selangor: PH mampu kekal kemenangan

Iklan
Nurul Atikah, Faridah, Nazhireen, dan Anis Nadira

GOMBAK - Pakatan Harapan (PH) dijangka mampu mengekalkan kemenangan di Selangor berdasarkan prestasi cemerlang mentadbir negeri itu sejak 2008.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati rata-rata pengundi ditemui berpandangan selesa di bawah pentadbiran PH yang mempunyai rekod bersih dan tidak banyak masalah.

Pengundi muda dari Selayang, Anis Nadira Jamal, 24, berkata, pentadbiran PH di Selangor stabil dan banyak inisiatif diperkenalkan bagi membantu rakyat.

Iklan

"Saya tidak nampak sebarang masalah sepanjang PH mentadbir Selangor. Banyak bantuan diperkenal termasuk saya mendapat insentif RM2, 000 semasa masuk universiti dulu.

"PH sudah dominan dan selesa di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Saya tak yakin untuk beri peluang kepada parti lain teraju Selangor kerana bimbang akan beri kesan kepada kestabilan serta timbulkan masalah lain," katanya sewaktu tinjauan pandangan orang awam mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan Jun ini.

Iklan

Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Nurul Atikah Basri, 20, berkata, dia memilih pemimpin yang mempunyai rekod yang baik dan bukan bersifat populis.

"Banyak orang muda sokong PN pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu kerana parti itu gunakan platform media sosial termasuk TikTok untuk berkempen.

"Tetapi bagi rakyat yang duduk di Selangor, lebih selesa di bawah PH yang memimpin dengan bagus. Saya lebih melihat kepada prestasi berbanding populis," katanya.

Seorang penduduk dari Pandan Indah, Nazhireen Mohd Nasir, 42, berkata, walaupun kurang mengikuti perkembangan politik semasa, namun dia berpandangan PH mampu mengekalkan kemenangan di Selangor.

"Saya tidak kisah mana-mana pemimpin yang naik tapi dilihat PH lebih menonjol kerana tidak banyak masalah sepanjang mentadbir Selangor.

"Cuma saya harap pemimpin yang dipilih nanti turun padang dan tambah baik jalan berlubang serta longkang tersumbat setiap kali hujan," ujarnya.

Bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang mengatakan PN mampu melakar kejutan dan merampas Selangor.

Seorang pengundi dari Kajang, Mohd Khuzairee Noor, 35, berkata, jentera PN lebih tersusun berbanding PH.

Katanya, walaupun sudah tiga penggal PH mentadbir Selangor namun susah untuk melihat pemimpin PH turun di lapangan.

"PH juga bersifat retorik berbanding PN yang banyak membantu rakyat.

"Saya sudah lebih setahun tidak mempunyai kerja tetap dan sukar mendapatkan pekerjaan. Sebagai rakyat, saya mahukan pemimpin yang prihatin dan bukan parti yang lebihkan pemimpin utama berbanding kebajikan rakyat," katanya.

Seorang pengundi Gombak, Faridah Ahmad, 61, berharap PN diberi peluang mentadbir Selangor.

" Saya tidak minat politik, lebih selesa memilih pemimpin yang lebih banyak membuat kerja berbanding populis.

"Kalau bersifat lantang tetapi kalau kerja tak jalan pun tak guna, ibarat tin kosong.

" Sebagai orang yang berusia, saya memilih pemimpin yang ikhlas bekerja, tidak sombong dan dekat dengan rakyat," katanya.