Gerakan jatuhkan kerajaan tidak wajar

Iklan
Ahmad Azam

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kewujudan gerakan yang cuba menjatuhkan kerajaan sedia ada pada masa kini adalah tidak wajar.

Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah), Datuk Ahmad Azam Abd Rahman berkata, tindakan tersebut tidak sihat untuk semua lapisan negara baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Kerajaan Perpaduan telahpun dibentuk dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu dengan mandat yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Sejak awal penubuhannya, kerajaan sudahpun memulakan langkah memulihkan ekonomi negara, menstabilkan politik nasional dan memantapkan integrasi negara ke dalam arus ekonomi antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Justeru, Ahmad Azam mengingatkan kepada pihak yang terlibat supaya menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengingatkan untuk tidak mengadakan sebarang konspirasi menjatuhkan kerajaan.

Beliau juga mengajak rakyat untuk menyokong gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh Anwar dalam memantapkan reformasi terhadap negara.

Iklan

"Wadah ingin mengajak sekelian rakyat agar tidak lagi mendokong mana-mana khalayak yang masih ingin meneruskan sebarang agenda politik lama, politik dendam kesumat, politik taksub perkauman, politik fitnah dan politik toksik," katanya.

Baru-baru ini Sultan Ibrahim bertitah menyuarakan kebimbangan baginda dengan desas-desus berkenaan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran sehingga hari ini, walaupun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Titah baginda, mana- mana pihak yang terlibat diminta untuk berhenti daripada berbuat demikian bagi memberi ruang kepada isu penting kepada negara termasuk ekonomi untuk dipulihkan.