TAPAH - Perak dijangka akan menjadi lokasi pilihan bagi pembukaan cawangan Universiti Tsukuba, Jepun pertama di negara ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, delegasi universiti itu datang ke Ipoh minggu lalu bagi melawat tapak yang dicadangkan.
"Perkembangan itu adalah lanjutan daripada lawatan kerja bersama delegasi kerajaan negeri ke Jepun awal Mac lalu. Dalam lawatan itu, kami melobi pihak Universiti Tsukuba untuk memilih negeri ini sebagai lokasi pembukaan cawangannya di Malaysia.
"Alhamdulillah, minggu lepas, delegasi Universiti Tsukuba datang ke Ipoh untuk melawat lokasi yang kita cadangkan dan mereka memberi respons begitu positif," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Pendidikan 2019 di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini, hari ini.
"Kerajaan negeri sedang mengambil beberapa langkah untuk memperkasakan bidang pendidikan selaras dengan hasrat negara yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju.
"Kita juga komited untuk meningkatkan daya saing anak-anak di negeri ini bagi menyiapkan mereka untuk dunia yang lebih mencabar di masa depan. Oleh itu, kerajaan negeri komited untuk mempromosikan STEM serta aliran TVET di kalangan anak-anak kita," katanya.
Ahmad Faizal berkata, selagi diberikan mandat, kerajaan PH akan terus memastikan agenda memartabatkan pendidikan menjadi agenda utama dalam hala tuju pendidikan negeri.