GEORGETOWN - Dua beradik nyaris rentung apabila bilik rumah flat yang didiami kedua-dua mangsa terbakar dalam kejadian di Jelutong di sini pada pagi Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Timbalan Penguasa Bomba I A'azelan Hassan berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan di Flat Central Garden daripada orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 10.40 pagi.
Bagaimanapun katanya, dua beradik berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 17 tahun dan kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
"Apabila kita tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati berlaku di salah sebuah bilik rumah flat yang didiami kedua-dua mangsa.
"Mangsa yang merupakan dua beradik iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan kakaknya yang juga OKU berusia 22 tahun berjaya menyelamatkan diri.
"Mereka tidak tercedera namun dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Kata beliau, kebakaran melibatkan sebuah bilik (kelas B) dan anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 30 peratus.
"Kita membuat 'size up' dan mengarahkan anggota untuk membuat kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 11.09 pagi dan telah dapat dipadamkan lima minit kemudiannya," katanya.
Beliau menambah, kerja 'overhaul' juga dijalankan dan kes diserahkan kepada pasukan forensik untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi tamat pada jam 12.04 tengah hari.
"Punca dan jumlah kerugian sedang dalam siasatan," katanya.