KUANTAN - Hajat seorang peniaga makanan untuk mengadakan jamuan hari raya di kedai miliknya pada Jumaat tidak kesampaian apabila premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 12, Kampung Tanjung Api pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.23 petang itu, tiga kedai termasuk sebuah kedai dua tingkat dan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya manakala dua lagi rosak teruk.
Anak kepada pemilik kedai makan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan, Abdul Muhaimin Abdul Halim, 29, berkata, keluarganya merancang untuk mengadakan jamuan hari raya di kedai berkenaan.
Menurutnya, semua keperluan sudah disediakan dan hanya menunggu untuk memasak juadah bagi jamuan itu pada pagi Jumaat.
"Kalau ikutkan hari ini, kami hendak buat jamuan hari raya. Jadi pelanggan datang mereka boleh makan sahaja tak perlu bayar. Tapi niat itu tidak kesampaian, ALLAH uji kami dengan kejadian ini (kebakaran).
"Semua keperluan untuk memasak menu nasi minyak dan dan nasi dagang untuk jamuan itu sudah pun disiapkan tetapi semuanya musnah terbakar," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian pada Jumaat.
Dia memberitahu cuba memasuki ruang kedai untuk menyelamatkan barang berharga, namun dihalang oleh isteri.
"Api pada ketika itu sangat marak, jadi saya tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya menangis melihat keadaan itu,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya yang merupakan pemilik kedai makan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan, Rosleda Yassin, 50, berkata, kejadian tersebut telah menyebabkan kedai makan dan rumahnya ibunya 100 peratus musnah.
Katanya, ini kerana kedai berkenaan bercantum dengan rumah ibunya yang didiami pekerja dan anak saudaranya, selain dijadikan rumah rehat untuk ahli keluarga.
"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan dari Gambang ke sini (Lorong Tanjung Api) selepas menjemput ibu daripada pondok agama. Selepas itu, saya menerima panggilan telefon daripada pekerja memaklumkan berlaku kebakaran di sini.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran manakala pekerja saya pula berjaya menyelamatkan diri,” katanya.
Menurut cerita pekerjanya, Rosleda memberitahu, asap bermula daripada bahagian rumah yang bercantum dengan kedai makan.
Jelasnya, namun api marak dengan cepat sehingga pekerjanya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.
"Api merebak dan marak dengan cepat, jadi mereka (pekerja) hanya sempat menyelamatkan diri," ceritanya lagi.
Rosleda, mengakui insiden itu sangat menguji kesabaran dan Kekuatan dirinya untuk meneruskan perniagaan diwarisi daripada arwah bapanya kira-kira 15 tahun lalu.
"Kedai ini sudah lama, arwah bapa yang memulakan sejak 30 tahun lalu dan saya hanya menjadi penyambung warisan sahaja.
"Bila tengok keadaan kedai, memang sedih sangat dan ramai rakan-rakan yang datang memberikan semangat untuk saya teruskan (perniagaan).
"Papan tanda kedai pun tidak jatuh ketika kebakaran semalam, seolah-olah memberi tanda supaya saya kuatkan semangat dan bangkit semula," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pehubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 29 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng dikerah ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
"Sebanyak lapan jentera digunakan dalam operasi berkenaan termasuk Jentera ALP untuk membantu kebakaran dengan teknik 'water tower'.
"Setakat ini, siasatan masih dijalankan unit forensik Bomba Pahang bagi mengenalpasti punca kebakaran itu," ujarnya.