ALOR SETAR - Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad dan disokong Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya menyerlahkan kemunafikan politik kedua-dua pemimpin berkenaan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian kedua-dua tokoh tersebut dalam isu orang Melayu tidak konsisten apabila mereka pernah membuat kenyataan kontroversi berhubung hak orang Melayu.
Menurutnya, tidak mustahil apabila sampai kepada satu peringkat, kedua-dua pemimpin itu menggunakan agama dan bangsa untuk kepentingan politik mereka.
"Abdul Hadi pula pernah membuat kenyataan untuk menghapuskan hak istimewa orang-orang Melayu jika Pas diberikan kuasa walaupun mendakwa kenyataan tersebut disalah lapor beberapa tahun kemudiannya,” katanya pada Jumaat.
Mahfuz berkata, kedua-dua pemimpin tersebut sebelum ini mempunyai pemikiran ke arah menyahkan apa yang terkandung dalam Perlembagaan negara, agak musykil untuk mempercayai perjuangan yang dibawa menerusi gagasan tersebut untuk kepentingan orang Melayu.
"Apabila menyentuh kepentingan politik Melayu, mereka nafi kata tidak. Jadi mereka nak buat proklamasi tu untuk apa? Hanya semata-mata tandatangani atas isu Melayu. Saya pun tak tahu apa isu Melayu yang berkaitan. Bagi saya itu menunjukkan kemunafikan politik Abdul Hadi dan Dr Mahathir,” katanya.
Menurutnya lagi, ia bukan tuduhan melulu sebaliknya kenyataan kedua-dua tokoh politik berkenaan masih boleh dirujuk kesahihannya.
"Boleh semak Facebook Perdana Leadership Foundation diasaskan Dr Mahathir sendiri yang memuat naik kenyataan Abdul Hadi mengenai isu berkenaan.
"Masih ada laporan, Dr Mahathir tak buang kenyataan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Helmi Yahya yang mengecam kenyataan Abdul Hadi itu,” ujarnya.
Mengulas sama ada pertemuan kedua-duanya hanya membabitkan isu penyatuan ummah tanpa menyentuh isu politik, Mahfuz enggan menelah namun menyifatkan ia menimbulkan persoalan.
"Saya tak tahulah apa mereka bincang, isunya kalau hanya untuk proklamasi Melayu pun sudah menunjukkan kemunafikan politik.
"Sebelum ini, Pas suruh Dr Mahathir bersara tumpu ibadah sebab sudah berusia. Kali ini mereka sendiri yang pergi mengadap (Mahathir).
"Dr Mahathir pula pernah tuduh Pas kafir, sudah minta maaf kah pada Pas? Atau mereka memaafkan beliau bagi pihak orang Memali yang mereka laungkan satu ketika dahulu,” soal Mahfuz.
Pada Rabu, Abdul Hadi dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh Dr Mahathir.