PASUKAN hoki remaja kebangsaan bersedia untuk mengalas cabaran meneruskan dominasi emas dalam acara hoki padang lelaki Sukan SEA lebih lima dekad, walaupun bakal berdepan lawan yang lebih berpengalaman.
Malaysia, yang merupakan kuasa besar hoki di rantau ini dengan pencapaian cemerlang 16 pingat emas Sukan SEA sejak 1971, hanya membariskan empat pemain senior yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, manakala 14 lagi adalah pemain skuad remaja.
Empat pemain tersebut adalah penjaga gol Mohd Zaimi Mat Deris, Muhammad Amirul Hamizan Azahar (pertahanan), Muhammad Najib Abu Hassan (tengah) dan Muhamad Ramadan Rosli (penyerang).
Ketua Jurulatih Muhamad Amin Rahim dalam kenyataan pada Jumaat berkata, anak buahnya telah bersedia sepenuhnya untuk memulakan kempen menentang tuan rumah, Kemboja pada Rabu depan, di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh.
Beliau berharap bahawa anak-anak buahnya akan menampilkan aksi terbaik sepanjang temasya itu sebagai persiapan menuju Kejohanan Piala Remaja Asia di Salalah, Oman bermula 23 Mei ini, selepas turut menyertai Siri Jelajah Perth Austalia baru-baru ini.
"Pemain juga diingatkan supaya tidak memandang rendah akan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pasukan yang bertanding dan setiap kali turun beraksi, pemain perlu turun dengan satu pemikiran yang betul selain memiliki mentaliti untuk menang pada setiap perlawanan,” katanya.
Skuad negara dijadualkan bertemu Singapura pada Khamis (11 Mei), Thailand (13 Mei) dan Indonesia (14 Mei) untuk melengkapkan liga sepusingan dengan dua pasukan teratas mara ke final, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berkongsi gangsa.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pihaknya tidak mahu memikirkan reputasi Malaysia pada edisi lepas dan dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mengelak tekanan, sebaliknya fokus akan diberikan sepenuhnya terhadap setiap aksi selain menghormati setiap lawan yang bakal dihadapi.
Katanya, untuk temasya kali ini, hanya empat pemain mempunyai pengalaman beraksi di Sukan SEA, manakala selebihnya mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa seperti di Kejohanan Piala Asia 2022, Piala Dunia Remaja 2022 serta Kejohanan Jemputan China baru-baru ini.
"Kriteria pemilihan pemain ke Sukan SEA adalah lebih kepada kebolehan pemain mengadaptasi dengan permainan pantas, membuat keputusan baik, memiliki teknik baik dan berfikiran positif. Barisan kejurulatihan, pegawai dan para pemain memiliki hasrat juga motivasi yang tinggi dalam memburu pingat emas di Kemboja.
"Pengalaman yang telah diraih oleh setiap pemain pastinya membantu untuk meningkatkan lagi keyakinan mereka. Sukan SEA kali ini juga pasukan akan menampilkan pemain muda berusia 19 tahun iaitu Azmyra Mia Sofea Azhairy,” katanya.
Skuad wanita negara yang turut mendominasi acara hoki padang dengan merangkul tujuh emas secara berturut-turut sejak edisi Jakarta 1997 hingga Kuala Lumpur 2017, dijadual bertemu Kemboja pada Rabu (10 Mei), Singapura (11 Mei), Thailand (13 Mei) dan Indonesia (15 Mei).
Acara hoki padang kembali dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu selepas enam tahun setelah ia tidak dipertandingkan pada edisi Filipina 2019 dan Vietnam 2021. - Bernama