KUALA SELANGOR - Lima sekeluarga menempuh detik cemas apabila atap rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Bestari Jaya dekat sini pada Sabtu lalu.
Mangsa, Srizza Sani, 37, berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika dia ingin membawa neneknya, Raonah Sudin, 88, mandi di bilik air.
Menurutnya, sebelum sampai di bilik air rumah, dia yang memapah neneknya terkejut sebaik terdengar bunyi dentuman kuat semasa berada di dapur.
"Tiba-tiba saya nampak atap tercabut satu persatu dan sebahagian kepingan atap jatuh berhampiran nenek," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut di Kampung Bestari Jaya pada Jumaat.
Srizza antara 14 mangsa ribut di kampung itu yang menerima sumbangan daripada bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Katanya, kejadian berlaku sekelip mata lebih-lebih lagi semasa musim perayaan Aidilfitri ini.
"Terkejut, takut semua ada tetapi saya cuba tenang walaupun keadaan dalam rumah sudah dipenuhi air ditambah pula dengan hujan lebat," jelasnya.
Srizza memberitahu, kejadian ribut sering melanda rumahnya dan kejadian itu berlaku kali kedua dalam tempoh setahun.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Mohd Arif Abd Bakar, 43, berkata, semasa kejadian ribut dia tiada di rumah kerana menziarahi mentuanya di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor.
"Saya terkejut sebaik sampai di rumah air sudah memenuhi bahagian antara ruang tamu dan bilik air.
"Luluh hati apabila melihat keadaan rumah yang sebahagian bumbungnya sudah tiada dan bahagian dalam pula dipenuhi air," katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar berkata, beliau turun membantu penduduk menerusi kerja-kerja kebajikan melalui firma guamannya.
Ujar beliau, meskipun tidak lagi menjadi wakil rakyat di Parlimen itu, namun kerja-kerja kebajikan untuk membantu penduduk tidak pernah dilupakan.
"Selalunya di Kampung Bestari Jaya ini memang banyak sejarah, dahulu banjir yang paling teruk pun di sini.
"Memang kawasan sini pun kerap kena ribut. Dahulu zaman saya (ahli Parlimen), mereka semua faham kalau ada kerosakan rumah akibat ribut, saya akan arahkan terus baiki dan segala kos semua kita selesaikan," ujarnya.
Jelas beliau, sejak dahulu lagi beliau mengamalkan prinsip membantu rakyat tanpa mengira parti.
"Semua kita bantu dan sedaya upaya berikan sumbangan sebanyak yang termampu," katanya.