Pengusaha resah gajah berkubang dalam kolam ikan

Iklan
Zulkifly dan Idris (depan) mengusahakan kolam ikan di Felda Lasah bimbang dengan kehadiran gajah yang berkubang di kolam mereka.

SUNGAI SIPUT - Kehadiran kumpulan gajah berkubang dalam kolam ikan di Felda Lasah di sini, dibimbangi akan menjejaskan pendapatan pengusaha kolam.

Kolam ikan jenis tilapia, baung, lampam jawa dan puyu siam yang diusahakan empat penduduk lebih 20 tahun lalu mengalami kerosakan pada tebing selain air bertukar keruh akibat haiwan liar itu.

Iklan
Iklan

Pengusaha, Idris Najat, 70, berkata, kumpulan haiwan liar itu dikesan mula memasuki kawasan kolam yang diusahakan mereka sejak Ahad lalu.

Idris

"Ia berdasarkan kepada kesan runtuhan tebing kolam dan longgokan tahi yang ditinggalkan. Beberapa hari lepas, penduduk kampung turut terdengar tempikan gajah dari ladang kelapa sawit berhampiran.

Iklan

"Walaupun tiada ikan yang mati, kita bimbang kerana sudah tiga hari haiwan liar ini berkubang menyebabkan palong rosak dan tebing kolam mulai rebak.

"Jika tebing kolam pecah, ribuan ikan yang dibela akan terlepas memasuki anak sungai berhampiran," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan
Zulkifly

Bagi Zulkifly Arifin, 52, dia yang baharu berjinak dalam mengusahakan kolam ikan belum dapat merasai hasil jualan ikannya itu.

"Sebanyak 5,000 benih ikan dilepaskan tahun lalu dan dijangka dapat dijual kira-kira tiga bulan lagi kerana mencapai saiznya yang sesuai.

"Saya boleh mendapat hasil antara RM2,000 hingga RM3,000 tetapi melihat keadaan ini, takut ikan-ikan ini mati tanpa sempat dijual," katanya.

Dia yang juga seorang peneroka berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah segera mengawal kehadiran haiwan liar itu.

Idris menunjukkan kerosakan pada tebing akibat dipijak gajah yang boleh mengakibatkan kolam pecah.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi memaklumkan menerima aduan berkaitan gangguan gajah di kawasan Felda Lasah.

"Kami bagaimanapun tidak menerima aduan gajah berkubang dalam kolam ikan namun, unit berkaitan telah melakukan kawalan selepas menerima aduan tersebut," katanya.