SHAH ALAM - Kelab Rakan Media Siasah Madani (Karesma) menggesa supaya polemik gila kuasa bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihentikan.
Pengerusinya, Edy Noor Reduan berkata, gerakan jahat yang disusun itu hanyalah cita-cita palsu.
Jelasnya, Karesma berpendapat usaha tersebut temu jalan buntu kerana tiada pihak mampu melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak mahu sejarah tiga Perdana Menteri dalam sepenggal berulang.
"Polemik merampas Putrajaya ini juga telah mengundang titah Sultan Johor pada Khamis yang mahukan kestabilan politik dan kemakmuran negara menjadi keutamaan.
"Hakikatnya jumlah tidak pernah cukup apabila pembentukkan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) harus melibatkan blok parti politik ekoran Akta Lompat Parti,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, segala bentuk cubaan untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan secara tidak demokratik haruslah dikekang dengan ketegasan undang undang.
Jelasnya, cubaan itu juga secara tidak langsung akan memberi impak negatif terhadap kestabilan ekonomi yang ketika ini sedang dipulihkan oleh kabinet Kerajaan Perpaduan.
"Karesma mendesak semua pihak hentikan segera kegilaan merebut kuasa. PRU15 telahpun berlalu, tunggulah hingga ianya dibubar dalam lima tahun lagi.
"Kini masa untuk buat kerja demi tanahair, semua pihak harus main peranan sewajarnya dalam usaha membawa kegemilangan Malaysia Madani,” katanya.