Guru terima rasuah bertentangan dengan prinsip pendidik

Iklan
OSMAN

SHAH ALAM - Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) menzahirkan rasa kecewa apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang guru dalam membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah.

Menurut Pengerusi YARM Pulau Pinang, Datuk Osman Hussan, isu tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia bertentangan dengan prinsip sebagai seorang guru dalam membentuk keperibadian murid yang baik.

Iklan
Iklan

Jelasnya, guru perlu menjadi teladan kepada institusi pendidikan lain dengan menolak jenayah rasuah.

"Sebagai seorang guru yang memegang pangkat sebagai guru besar, individu tersebut tidak sepatutnya terlibat dalam aktiviti meminta dan menerima wang rasuah kerana ia secara tidak langsung akan menjejaskan reputasi sekolah dan institusi pendidikan.

Iklan

"Jika individu berkenaan didapati bersalah dengan jenayah tersebut, saya berharap agar hukuman diberikan seadilnya mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM cawangan Kluang, Johor menahan seorang guru besar sebuah sekolah bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah lebih RM10,000.

Iklan

Difahamkan, lelaki itu disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengusaha kantin dari sekolah sama sebagai dorongan untuk memudahkan urusan tuntutan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

Tambah Osman, beliau berharap agar guru-guru dan institusi pendidikan menjadikan kes berkenaan sebagai pengajaran.

Bukan itu sahaja, beliau memaklumkan institusi berkenaan juga perlu menunjukkan pengurusan lebih telus, jujur berdisiplin dan bertanggungjawab untuk menjadi contoh kepada bangsa dan negara.

Ujarnya, guru bukan sahaja menjadi contoh kepada para pelajar tetapi perlu menunjukkan sikap yang baik untuk diteladani oleh syarikat swasta bahawa pengurusan di peringkat sekolah adalah yang terbaik.