KUALA SELANGOR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa mengikuti garis panduan dan nasihat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada semua atlet negara dalam menangani cuaca panas dan mengelakkan berlakunya strok haba.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, pada masa ini semua atlet negara termasuk mereka yang terbabit dalam sukan profesional perlu mengikuti garis panduan ditetapkan.
Menurutnya, antara garis panduan yang mesti dipatuhi semua atlet seperti mengelakkan latihan pada waktu cuaca panas.
Beliau berkata ketika ditemui selepas pelepasan Program Bukit Melawati Lebarun 2023 di Dataran Malawati di sini pada Sabtu.
Ujar beliau, ketetapan itu diguna pakai sehingga mendapat nasihat daripada KKM dan keadaan cuaca kembali pulih.
"Garis panduan itu akan dipantau dari semasa ke semasa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).
"Soal keselamatan memang menjadi keutamaan kerana kita tidak mahu berlaku perkara tidak diingini dan ingin memastikan (keselamatan) di bawah kita terjamin," katanya.
Khamis lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengeluarkan pekeliling berhubung larangan sebarang aktiviti luar termasuk kokurikulum murid dan pelajar sekolah bagi mengelak serangan strok haba.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pekeliling yang berkuat kuasa pada Rabu itu mesti dipatuhi semua guru besar dan pengetua di seluruh negara.