Cuaca panas: KPT tak halang IPT buat aktiviti luar

Iklan
Mohamed Khaled (kanan) menerima cenderamata daripada Othman (dua dari kiri) pada Majlis Mesra Ria Aidilfitri Veteran UMNO Johor pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak melarang mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengadakan aktiviti luar dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KPT masih tidak mengeluarkan apa-apa pekeliling berhubung garis panduan aktiviti luar dalam keadaan cuaca ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kebanyakan bilik kuliah di negara kita juga menggunakan pendingin hawa, jadi tidak timbul isu KPT perlu keluarkan arahan atau garis panduan tertentu berhubung aktiviti pelajar IPT dalam keadaan cuaca panas.

"Mungkin jika keadaan cuaca panas semakin melampau, aktiviti luar di IPT akan dinasihatkan ditangguhkan sementara, namun aktiviti lain termasuk kuliah tetap akan berjalan seperti biasa berikutan ia dilaksanakan dalam bangunan.

Iklan

"Aktiviti sukan bergantung kepada keadaan cuaca semasa apatah lagi aktiviti sukan tidak wajib ke atas semua pelajar IPT. Jadi buat masa ini, KPT tiada halangan untuk pelajar melakukan aktiviti luar serta beriadah sehingga cuaca menjadi lebih buruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Mesra Ria Aidilfitri Veteran UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa.

Khamis lalu, semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan diarah menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

KPM memaklumkan, larangan itu termasuklah untuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

KPM sebelum ini memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan di bawahnya untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan ketika cuaca panas bagi mengelak sebarang komplikasi kepada kesihatan.