RIBUAN promosi menarik dan penjimatan hebat untuk dijadikan hadiah Hari Ibu, Hari Guru serta Aidilfitri bakal ditawarkan kepada rakyat Malaysia bersempena Lazada 5.5 Jualan Kasih Berganda yang akan bermula 5 hingga 9 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, tawaran produk pada harga berbaloi yang berkualiti itu juga turut bertujuan memberikan inspirasi kepada para pengguna di seluruh negara agar berkongsi kasih sayang dan menggandakan keceriaan menerusi jualan berkenaan.
"Sebelum Jualan 5.5 bermula secara rasmi pada 5-9 Mei 2023, para pelanggan digalakkan ‘add to cart’ produk idaman dan barang keperluan yang ingin dibeli pada 1-4 Mei 2023.
"Sempena sambutan Hari Ibu dan Hari Guru yang bakal menjelang tiba, terdapat pelbagai promosi dan ganjaran yang boleh dinikmati dan terdapat banyak produk menarik yang boleh dijadikan hadiah untuk ibu dan guru tersayang.
"Nikmati harga tanpa tandingan untuk produk seperti jam tangan pintar, wangian, kerusi urut, pakaian, aksesori fesyen, bunga segar, makanan dan minuman, rawatan spa, peralatan dapur, tiket pelancongan dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, Lazada turut meneruskan usaha untuk membantu komuniti yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal menerusi kempen derma amal ‘Membeli Untuk Memberi’ yang merupakan inisiatif impak sosial positif, dengan kolaborasi bersama rakan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia dan MyFundAction.
Van dan trak Lazada Logistics juga katanya, telah digerakkan ke 10 negeri di seluruh Malaysia iaitu Kelantan, Pahang, Kedah, Penang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur demi mengagihkan 4,500 set pek prihatin ‘Pakej Raya’ yang mengandungi keperluan makanan asas kepada 19,000 keluarga berpendapatan rendah, rumah jagaan orang tua dan rumah anak yatim.
"Kami ingin menzahirkan rasa penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pelanggan tersayang Lazada yang telah menyokong kempen derma amal ‘Membeli Untuk Memberi’ sepanjang bulan Ramadan.
"Kami akan terus berusaha untuk memupuk daya kekitaan menerusi ekosistem yang lebih inklusif, lantas memudahkan para pelanggan untuk menyumbang kepada komuniti yang memerlukan," katanya.
Di samping itu menurut Alan, pada bulan ini juga sebahagian besar rakyat Malaysia masih meraikan sambutan Aidilfitri termasuklah mencari baju raya untuk rumah terbuka, serta hadiah untuk Hari Ibu dan Hari Guru.
Justeru itu katanya, Lazada ingin memudahkan hasrat tersebut dengan menawarkan pelbagai seleksi produk berkualiti pada harga yang berpatutan dengan Jualan Kasih Berganda 5.5.
"Para pelanggan boleh menikmati diskaun hebat sehingga 50 peratus dari 1 – 5 Mei 2023 dan baucar seluruh kedai bagi jenama terkemuka seperti MAC, Timberland, Getha, Samsonite, Philips, Blackmores, Logitech dan banyak lagi dengan LazMall Brand Mega Offers.
"Sepanjang kempen tersebut, para pelanggan juga boleh merebut promosi istimewa bagi kategori berbeza, antaranya kelengkapan rumah (6 Mei), elektronik (7 Mei), fesyen (8 Mei), dan barangan runcit (9 Mei).
"Bagi mereka yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa Jualan 5.5, LazFlash bakal membawakan diskaun durian runtuh dengan potongan sehingga 90 peratus, malahan, nikmati penjimatan untuk pelbagai jenama antarabangsa menerusi Everyday Cashback (Pulangan Tunai) dan Free Shipping (Penghantaran Percuma)," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Alan turut memaklumkan, pihaknya juga telah mendermakan 200 set pek makanan berbuka puasa kepada anak yatim, warga emas dan para penjaga di Rumah Limpahan Kasih serta Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Puchong demi menghargai insan istimewa dari komuniti yang memerlukan.
Semasa buan Ramadan juga katanya, Lazada Malaysia turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa khas bersama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).
"Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik dengan SIDEC, 30 penjual cemerlang Lazada juga diperkasakan untuk menggiatkan perniagaan di Festival Usahawan Gempak di Stadium Malawati Shah Alam, 7 – 9 April 2023, dengan menjual pelbagai produk hangat seperti Baju Raya, tudung, aksesori fesyen, kuih raya, produk makanan dan pelbagai barangan permintaan ramai.
"Festival tersebut telah menarik ratusan usahawan dan lebih daripada 40,000 pengunjung, manakala ikon Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Gempak," katanya.