Penunggang motosikal maut digilis

Iklan
Salah sebuah motosikal milik penunggang remuk selepas terlibat dalam nahas maut di Kuala Kangsar pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut akibat digilis kenderaan berat dipercayai treler dalam nahas di Kilometer 245.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 11.55 malam itu, mangsa, Muhammad Azren Azih, 24, yang beralamat di Kampung Senggang di sini disahkan maut akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda RS-X ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, motosikal mangsa terlanggar tembok batu di sebelah kanan laluan mengakibatkan kenderaan itu jatuh terseret ke sebelah kiri.

Iklan

"Pada masa sama datang dua buah motosikal masing-masing ditunggang lelaki berusia 22 dan 24 tahun tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa sebelum kedua-duanya jatuh ke tepi kiri jalan.

Salah sebuah motosikal milik penunggang mengalami kerosakan selepas terlibat dalam nahas maut di Kuala Kangsar pada Jumaat. Foto: ihsan pembaca

"Tidak lama kemudian, sebuah kenderaan dipercayai treler yang sedang mara di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa. Kenderaan itu bagaimanapun tidak berhenti dan terus beredar dari lokasi kejadian," katanya di sini pada Sabtu.

Iklan

Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Dua lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di kaki dan badan telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan," katanya.

Tambah beliau, usaha dijalankan bagi mengesan pemandu treler terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.